Anwar ke Turkiye malam ini 


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemergian sehari ke Turkiye akan disertai oleh Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Turkiye malam ini bagi menyatakan sokongan kepada negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Anwar berkata beliau pada mulanya enggan ke sana kerana kekangan tugas namun mempertimbangkannya sana atas rayuan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. 

“Mulanya saya enggan, sebab Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dah hantar, hospital pun dah buka, namun atas semangat persahabatan, saya buat keputusan untuk ke sana,” kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini. 

Anwar berkata pemergian sehari ke Turkiye akan disertai oleh Menteri Luar Zambry Abdul Kadir. 

Terdahulu ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Persidangan Parlimen, Anwar berkata beliau telah dihubungi dua kali oleh Erdogan yang meminta dirinya ke Turkiye. 

“Saya pertimbangkan akan terbang ke sana malam ini untuk memberi sokongan moral, saya telah diminta presiden untuk segera ke sana,” kata beliau. 

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye dan Syria.

Sehingga semalam dilaporkan bilangan kematian di Turkiye mencecah 31,643 orang dan 106,428 lagi cedera manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera. – Bernama, 14 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen