MMA gesa Putrajaya bertindak, elak mogok petugas kesihatan


Ravin Palanisamy

Persatuan Perubatan Malaysia menggesa kerajaan menyelesaikan isu yang dihadapi petugas kesihatan berikutan khabar angin mengenai mogok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2023.

PUTRAJAYA perlu bertindak segera berhubung rungutan pekerja penjagaan kesihatan dan mempercepatkan pembaharuan yang amat diperlukan untuk menangani isu yang mereka hadapi sejak sekian lama, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini.

Dengan khabar angin berlaku mogok, Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata mereka tidak menyokong sebarang bentuk mogok tetapi menyeru kerajaan untuk menangani masalah dan isu pekerja penjagaan kesihatan, yang mereka hadapi selama bertahun-tahun.

“Kami tidak terkejut apabila mendengar kemungkinan mogok oleh pekerja penjagaan kesihatan awam. Peringatan mengenai sistem penjagaan kesihatan dan sumber manusianya sudah diketengahkan selama bertahun-tahun.

“MMA tidak menyokong atau membenarkan sebarang mogok namun ia dapat difahami bahawa kekecewaan dan keletihan pekerja penjagaan kesihatan awam kami telah mencapai hadnya dan kini mereka mahu suara mereka didengar.

“Isu-isu yang mereka hadapi bukanlah perkara baharu, ia telah wujud selama bertahun-tahun dan dengan hanya sedikit atau tiada perubahan.

“Dalam empat tahun lepas, terdapat tiga perubahan kerajaan. Dengan setiap barisan kabinet dan pentadbiran baharu ada harapan baharu namun tiada seorang pun dapat menyelesaikan isu mereka,” kata Dr Muruga Raj dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee membangkitkan kebimbangan mengenai potensi mogok yang tidak diumumkan oleh pekerja penjagaan kesihatan berhubung kekecewaan dan tekanan yang mereka hadapi dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Walaupun terdapat kebimbangan, namun katanya sehingga kini perkara itu masih belum ditangani dan masalah serta ksukaran yang dihadapi oleh pekerja kesihatan tetap sama.

“Masih belum cukup jawatan tetap untuk memberi pekerjaan yang terjamin kepada doktor kontrak.

“Kemudahan penjagaan kesihatan awam kami masih sesak, masih terdapat kekurangan tenaga kerja dan kebanyakan pekerja penjagaan kesihatan terlalu banyak bekerja dan bergaji rendah.

“Isu ini telah dibangkitkan dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Kesihatan dan pelbagai kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh MMA selama ini,” katanya.

Dr Muruga Raj menyeru Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mencari jalan penyelesaian dan menyelesaikan isu-isu yang telah lama berlarutan.

“Isu-isu dalam sistem penjagaan kesihatan kita tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah yang perlu ditangani oleh Kementerian Kesihatan sahaja. Banyak isu, terutamanya melibatkan sumber manusia, memerlukan belanjawan dan perancangan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, untuk bertindak sekiranya terdapat sebarang halangan dalam melaksanakan pembaharuan ini.

“Isu dalam sistem penjagaan kesihatan adalah akibat daripada dasar yang gagal pada masa lalu. Perdana menteri kini mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan masa lalu dengan pembaharuan,” katanya.

“Kami ingin mengingatkan perdana menteri rakyat Malaysia tidak lupa semua janji yang dibuat (mengenai penambahbaikan penjagaan kesihatan) semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 oleh gabungan politik beliau dan ahli Parlimen yang kini berada dalam kerajaan.

“Pembentangan bajet 2023 hampir tiba dan seluruh petugas penjagaan kesihatan serta semua rakyat Malaysia akan mengharapkan berita baik tentang bajet yang benar-benar mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan,” tambahnya. – 14 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen