RAKAMAN menunjukkan berlaku kekeliruan antara juruterbang dengan pusat kawalan trafik udara mengenai landasan sejurus sebelum pesawat terhempas ketika mendarat di lapangan terbang Kathandu, kata pakar penerbangan yang menyiasat nahas berkenaan pada Selasa.
Pihak berkuasa penerbangan berkata, mereka telah menemui perakam data penerbangan daripada bangkai pesawat berkenaan yang hangus terbakar selepas terjunam ke padang bola berhampiran lapangan terbang berkenaan yang menyebabkan 49 orang terbunuh.
Saksi menjelaskan bagaimana pesawat US-Bangla Airways yang membawa 71 penumpang secara tiba-tiba menukar haluan sebelum terhempas.
Pada Isnin ketua eksekutf syarikat penerbangan itu Imran Asif berkata “menara kawalan teragak-agak” ketika pesawat berkenaan menghampiri landasan di lapangan terbang berkenaan.
Namun pengurus lapangan terbang terbabit Raj Kumar Chhetri memberitahu AFP, terlalu awal untuk menyatakan apa yang menjadi punca nahas berkenaan.
“Masih belum dapat dipastikan sama ada juruterbang atau menara kawalan yang salah,” katanya dan menambah siasatan akan dijalankan dengan pihak Bangladesh.
Rakaman perbualan antara menara kawalan dan juruterbang mendapati terdapat kekeliruan berhubung landasan mana yang perlu dilalui pesawat terbabit.
Menara kawalan dengan jelas memberi laluan kepada pesawat berkenaan untuk mendarat daripada laluan selatan.
“Kamu menuju ke arah landasan 20,” kata pengawal berkenaan beberapa saat kemudian, merujuk kepada hujung utara landasan berkenaan.
Beberapa mesej mengelirukan turut dirakam sebelum nahas itu berlaku yang mama juruterbangnya menyatakan akan mendarat di “landasan 20” dan kemudiannya “landasan 02” iaitu di laluan selatan.
“Terdapat kemungkinan berlaku kekeliruan daripada menara kawalan berhubung landasan mana yang sepatutnya pesawat berkenaan mendarat,” kata pakar penerbangan dari Britain Andrew Blackie yang turut mendengar rakaman berkenaan. – AFP, 13 Mac, 2018.
Komen