AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengkritik China susulan kapal pengawal pantai negara itu memancarkan lampu laser gred tentera” ke arah kapal peronda Filipina di Laut China Selatan sehingga mengganggu penglihatan anak kapal.
Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price dalam satu kenyataan berkata perbuatan kapal pengawal pantai China itu provokatif dan berbahaya.
Beliau selain itu berkata tindakan China mengancam keamanan dan kestabilan serantau, selain melanggar kebebasan pelayaran di Laut China Selatan serta menjejas ketenteraman antarabangsa berasaskan peraturan.
Insiden itu berlaku pada 6 Februari lalu hampir 20 kilometer dari Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, di mana tentera marin Filipina ditempatkan, menurut pengawal pantai Filipina semalam.
Kapal pengawal pantai China memancarkan cahaya laser hijau gred tentera sebanyak dua kali ke arah kapal Filipina, menyebabkan penglihatan anak kapal terganggu sementara, katanya dalam kenyataan.
Beberapa hari sebelum insiden tersebut, AS dan Filipina setuju untuk menyambung semula rondaan bersama di Laut China Seatan. Dua negara itu juga memeterai perjanjian untuk memberi akses kepada tentera AS ke empat lagi pangkalan tentera di Filipina. – AFP, 14 Februari 2023.
Komen