PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump hari ini memecat setiausaha negaranya Rex Tillerson, dan digantikan oleh Pengarah CIA Mike Pompeo.
“Mike Pompeo, pengarah CIA, akan menjadi ketua setiausaha negara baharu. Beliau akan menjalankan tugas dengan baik!” kata Trump menerusi Twitter.
“Terima kasih Rex Tillerson kerana khidmatnya!” tambahnya.
Presiden AS itu mengumumkan pelantikan Gina Haspel yang akan mengetuai CIA sekaligus menjadi wanita pertama memegang jawatan berkenaan.
Trump pada Jumaat lalu meminta Tillerson meletakkan jawatan, dan memaksa beliau memendekkan lawatannya ke Afrika pada Isnin untuk kembali ke Washington.
Ketegangan antara Trump dan Tillerson telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu, namun pertikaian antara presiden dan diplomat berkenaan sampai ke kemuncaknya pada minggu lalu, kata pegawainya.
Punca pertelingkahan itu bagaimanapun masih tidak jelas. Jurucakap kepada Tillerson berkata setiausaha negara itu berniat untuk terus mengekalkan jawatannya dan masih tidak mengetahui punca beliau dipecat. – AFP, 13 Mac, 2018.
Komen