Politik Sabah ikut jejak Sarawak? 


Mohd Azizi Jaeh

Keputusan Hajiji Noor dan pasukannya menukar ‘baju parti’ (dari Parti Bersatu kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah) serta-merta melahirkan tanggapan parti mana pun yang mewakili kerajaan di peringkat pusat, kerajaan negeri akan tetap berada di ‘bawah ketiak’ persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

TAHUN ini genap 60 tahun usia Persekutuan Malaysia. Keanggotaan Sabah terhasil bukan setakat menambahkan keluasan peta persekutuan, bahkan mengubah penamaan Persekutuan Tanah Melayu kepada nama baharu Malaysia.  

Sejak pembentukan Malaysia politik Sabah merupakan entiti yang sering terikat dan terhubung dengan segala perkembangan dan pengaruh dari Semenanjung.

Tidak terkecuali sejarah hubungan persekutuan-negeri juga mencetuskan pelbagai konflik. 

Di satu pihak ada yang beranggapan elit politik Sabah ‘terlalu pro Persekutuan’ di sebelah pihak pula wujudnya perasaan anti-persekutuan untuk mengeluarkan Sabah dari Malaysia.

Paling jelas masalah yang sering melatari ketegangan hubungan antara Putrajaya-Kota Kinabalu adalah isu penghakisan kuasa autonomi kerajaan negeri, kekurangan peruntukan kewangan yang disalirkan serta pembayaran royalti petroleum yang dikatakan tidak mengikut perjanjian.  

Krisis hubungan ini berlarutan sejak era pentadbiran Datu Mustapha Datu Harun mengetuai USNO dan Joseph Pairin Kitingan memimpin PBS lagi. Politik Sabah adakalanya begitu ribut dan ada ketikanya dapat diredakan.

Dalam konteks federalisme, kebanyakan masyarakat menyimpan pemahaman yang silap berhubung perbezaan kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia dari sudut perlembagaan.

Misalnya tanggapan yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat bahawa status Sabah dan Sarawak adalah sama taraf dengan 12 negeri-negeri Semenanjung. 

Sebenarnya tidak! Barangkali tanggapan ini dipengaruhi dengan format pertandingan bola sepak Liga Malaysia yang dibahagikan mengikut carta negeri dan kelab.

Yang sebenarnya status Sabah dan Sarawak adalah setara dengan ‘keseluruhan negeri Semenanjung’ yang merangkumi 12 negeri dari sudut perlembagaan dan Perjanjian MA63. 

Dengan demikian, setiap negeri di Semenanjung tidak sama tarafnya dengan Sabah mahupun Sarawak.

Selangor umpamanya tidak sama statusnya dengan Sabah. Pendek kata, Malaysia secara tepatnya terdiri 3 komposisi utama, Semenanjung (meliputi 12 negeri), Sabah dan Sarawak.  

Kandungan Perjanjian MA63 merupakan sesuatu yang tidak boleh dirombak dan dicairkan – ini sering ditegaskan pemimpin utama di blok Borneo kebelakangan ini.

Tambahan pula, keadaan istimewa meletakkan sejarah politik Sabah itu lahir dan berdiri sebagai sebuah unit politik yang tersendiri –misalnya parti politik tempatan dapat bertindak atas dorongannya sendiri (sama situasinya di Sarawak).

Apabila Kerajaan Perpaduan mentadbir negara November lalu, penumpuan khusus terhadap Perjanjian MA63 telah hampir dilengkapi dan disudahkan; ia dikatakan mengisi hasrat yang tertangguh berdekad lamanya –autonomi dan peruntukan pembangunan yang munasabah misalnya akan dikembalikan.

Kesan daripada peristiwa ini bagi penulis boleh melahirkan satu lagi bentuk ‘dinamika baru’ terhadap landskap politik Borneo khususnya percaturan parti politik tempatan dalam jangka panjang. 

Rencana ini membincangkan percaturan dan persaingan di kalangan elit politik di Sabah yang telah dan sedang berlaku selepas PRU 15.

Pasca PRU15: Negeri Mengukuh, Persekutuan Terhakis?

Dengan meletakkan andaian, jika kerajaan Persekutuan melemah, maka Sabah akan lebih mudah mendapatkan hak autonomi yang dituntutnya. Justeru, keadaan pusat sekarang dilihat bergantung kepada negeri.

Dalam kata lain, apabila kerajaan Persekutuan sukar mendapatkan majoriti kukuh bagi menubuhkan kerajaan, maka blok Borneo baik dari Sabah dan Sarawak akan bertindak sebagai penentu atau king maker, sementara segala permintaan atau tuntutan mereka akan cuba dipenuhi pusat.

Pilihan raya yang lalu menentukan garis sokongan dan haluan yang dipilih oleh kepimpinan parti di Sabah khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Keputusan Hajiji dan pasukannya menukar ‘baju parti’ (dari Parti Bersatu kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah) serta merta melahirkan tanggapan parti mana pun yang mewakili kerajaan di peringkat pusat, kerajaan negeri akan tetap berada di ‘bawah ketiak’ persekutuan –sindrom tidak mahu menjadi pembangkang.

Ia juga memaparkan bentuk perundingan dan konsensus yang bakal dilalui Putrajaya-Kota Kinabalu satu masa kelak. 

Sejajar dengan penyempurnaan Perjanjian MA63, kedudukan pentadbiran Sabah buat seketika ini dipandang akan lebih mengukuh. Semua jalan ke arah kestabilan pemerintahan negeri nampaknya mula diterokai. 

Suatu yang mustahak, kepimpinan Sabah berkemungkinan akan menerokai dan  ‘menyalin secara tak langsung’ pendekatan yang pernah digunakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas PRU 2018.

Parti tempatan di Sarawak mengukuhkan kedudukannya dengan membina satu pakatan atau gabungan terdiri dari parti lokal yang memerintah ke dalam satu unit – GPS. 

Berbeza sebelum PRU14 parti lokal yang memerintah Sarawak masih terikat penyertaannya dalam gabungan dari Semenanjung iaitu Barisan Nasional (BN).

Dengan bertindak sedemikian, kepimpinan GRS mungkin berpendapat langkah taktikal ini dapat membina ‘satu lagi pusat kekuasaan baru’ bagi parti lokal selepas Sarawak.

Dalam erti kata lain, parti tempatan dan blok gabungannya akan berasal dari negeri yang sama. 

Bukan lagi seperti sebelum ini, parti tempatan tetapi pakatan gabungannya berasal dari Semenanjung –misalnya BN dan Perikatan Nasional (PN).

Ucapan Hajiji beberapa hari lalu menyebut “Parti Gagasan Rakyat Sabah, wadah politik yang 100% (dari parti) tempatan untuk meneruskan perjuangan kepada rakyat dan negeri Sabah.”

Secara tak langsung, pendekatan ini dapat mengukuhkan pakatan dan parti tempatan sepenuhnya sekali gus mengambil alih penguasaan parti dari luar yang terlalu lama khasnya Umno/BN.

Ketenangan politik di Sabah tidak bermakna peralihan kerusi Ketua Menteri tidak boleh berlaku. 

Pergeseran politik dalam sebulan dua ini kelihatan berpusat kepada beberapa tokoh yang berpotensi merebut ‘kerusi yang sangat berkuasa’ itu. 

Selain Hajiji, nama Shafie Apdal dari Parti Warisan Sabah dan Bung Mokhtar dari Umno merupakan saingan sengit dalam merebut takhta kuasa.

Selain Hajiji Noor, nama Shafie Apdal dari Parti Warisan Sabah dan Bung Mokhtar (gambar) dari Umno merupakan saingan sengit dalam merebut takhta kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

Persaingan ini juga berlingkar kepada soal “siapa yang lebih layak menguruskan sumber negeri ”dan siapakah pemimpin yang tidak mahu menduduki kerusi Ketua Menteri apabila Perjanjian MA63 telah hampir disempurnakan.”

Awalnya terdapat perancangan untuk menggulingkan Hajiji, namun Hajiji kembali diabsahkan dan mendapat sokongan majoriti Adun untuk kekal Ketua Menteri. Namun, Bung Mokhtar mengatakan “game still on” (perlawanan masih berterusan).

Langkah susulan Umno dalam beberapa hari iaitu mengadakan tempoh gencatan sementara. 

Kemuncaknya semalam (12 Februari) BN pusat mengambil ketetapan baru apabila memberikan semula sokongan kepada Hajiji untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan di Sabah.

Kini terserah kepada kepimpinan Ketua Menteri untuk mengukuhkan parti di Sabah dalam apa jua bentuk. 

Namun perlu diingatkan kedudukan kerusi GRS tidak sekukuh seperti GPS Sarawak yang dipimpin Abang Johari. 

Bagi pentadbiran negeri Sabah, dengan apa cara sekalipun, asalkan kedudukan lebih memihak di kalangan anak tempatan terjamin. 

Bagi penulis, ini adalah tempoh pengujian dan peluang Hajiji pada penggal ini untuk membina benteng ‘blok Borneo kedua’ yang kukuh selepas Sarawak.

Lebih-lebih lagi, naratif yang semakin berkembang sekarang memungkinkan akan terbitnya suara yang mencadangkan parti Semenanjung yang bersama dalam kerajaan Perpaduan tidak perlu bertanding di Sabah pada PRU ke-16.

Ini telah pun dibuat oleh GPS di Sarawak sebelum PRU-15. Justeru, Sabah bukan setakat boleh menempatkan dirinya sebagai status negeri, bahkan wilayah yang ‘betul-betul’ setara dengan Semenanjung dan Sarawak. 

Begitulah faedah langsung daripada Perjanjian MA63 kepada politik Sabah apabila diberikan tanda pengiktirafan. – Bernama, 13 Februari, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen