SPAN mahu hukuman lebih berat terhadap pencemar air 


Pencemaran sumber air menyebabkan gangguan bekalan yang menjejaskan pengguna selain kos pembersihan yang tinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mahu mereka yang melakukan pencemaran sumber air dikenakan hukuman denda maksimum RM20 juta dan penjara sehingga 20 tahun, lapor New Straits Times hari ini.

Pada masa ini, mereka yang melakukan kesalahan itu hanya berdepan denda maksimum RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Ahmad Faizal Abdul Rahman dilaporkan berkata hukuman baharu itu adalah sebahagian daripada cadangan pindaan suruhanjaya itu kepada Akta Industri Air 2006.

Pindaan itu adalah bagi memerangi pencemaran air yang berleluasa dengan lebih berkesan, dan seterusnya mengurangkan kekerapan gangguan bekalan air.

Faizal berkata denda RM100,000 ketika ini tidak setimpal dengan kesan pencemaran itu.

“Denda RM100,000 mungkin relevan pada 2006 apabila akta itu digubal,” beliau dipetik sebagai berkata.

“Bagaimanapun, dengan mengambil kira kepantasan pembangunan, bilangan akaun pengguna yang semakin meningkat serta peningkatan kos operasi, denda maksimum perlu dinilai semula.”

Pindaan yang dicadangkan juga akan membolehkan operator air menuntut kos pembersihan daripada pelaku.

“Pindaan lain akan membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang perbuatannya menimbulkan risiko atau menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air.

“Pembuangan kumbahan, efluen, objek atau bahan ke dalam mana-mana longkang juga merupakan satu kesalahan.”

Faizal berkata suruhanjaya itu sedang menunggu kelulusan untuk pindaan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, serta Jabatan Peguam Negara.

“Kita mengetatkan undang-undang termasuk menetapkan denda yang lebih munasabah bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dan SPAN dalam membendung pencemaran air.

“Melalui pindaan ini, kami berharap dapat menghalang pencemaran sungai.” – 13 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen