KESAN dakwat kekal pada jari tangan kiri saya masih belum hilang sepenuhnya. Saya pasti ia akan hilang 100% dalam satu dua minggu, kemungkinan apabila genap 100 hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.
Dakwat kekal ini membawa kepada banyak memori 19 November – tarikh PRU15 yang menyaksikan pelbagai kelainan, keunikan dan warna-warni. Senarai kehendak pengundi panjang dan banyak.
Begitu juga harapan agar barisan wakil rakyat di Parlimen penggal ke-15 akan berdaya tahan bagi memenuhi kehendak dan keperluan pengundi.
Menariknya, dalam tempoh yang singkat sejak PRU15 berlangsung, banyak detik penting mendapat tempat di sebalik lipatan sejarah negara.
Perjalanan kerajaan juga ada yang menarik dan harus dipuji. Dan, pada masa sama, ada yang mengecewakan ramai.
Tinjauan pasca-PRU15 kendalian firma pandangan umum Merdeka Center menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus menjadi tokoh pilihan rakyat dengan kadar penerimaan 68%.
Sementara 75% responden pula menyatakan mereka menerima keputusan Perikatan Nasional untuk kekal sebagai pembangkang.
Majoriti besar iaitu 79% responden menyambut baik keputusan PRU15. Secara umum, ia selari dengan peratusan yang keluar mengundi pada kali ini.
Menjelang tiga bulan genap PRU15, mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-15, bermula hari ini dengan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia juga terakhir yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pembukaan rasmi hari ini mirip detik disaksikan 24 tahun lalu. Situasi sama berulang. Pada Februari 2000, majlis perasmian diadakan susulan PRU November 1999.
Meskipun ahli Parlimen mengangkat sumpah dan Dewan Rakyat pula mengadakan sidang khas bagi meluluskan bajet mini pada minggu kedua Disember lalu, persidangan pertama secara formal dengan majlis perasmian sememangnya dinanti-nantikan sejak dua bulan lalu.
Sidang pertama bermula hari ini akan memperlihatkan kelainan sebagaimana beza dan uniknya PRU15.
Mengikut Artikel 55(1) Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.
Secara umumnya, “penggal” adalah tempoh permulaan sidang Parlimen hingga penghujung persidangan pada setiap tahun.
Berdasarkan maklumat disenaraikan dalam portal Parlimen, Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.
Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil cukai yang baru.
Selain itu, Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara berkaitan kepentingan orang ramai. Bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan dengan lebih berkesan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang dipanggil “Keistimewaan Ahli Parlimen” kepada ahli Parlimen.
Setiap Dewan Parlimen mempunyai kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri, kuasa mutlak atas prosiding masing-masing yang mana kuasa ini tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah; dan setiap Dewan boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau menghina di dalam Dewan tersebut.
Secara amnya, ahli Dewan menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.
Sidang Parlimen kali ini akan menjadi ujian dan dugaan kepada semua gabungan dan parti. Begitu juga Anwar yang akhirnya diangkat sebagai perdana menteri, yang ke-10. Baki 221 wakil rakyat juga perlu memainkan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tersohor. Jangan kecewakan rakyat dan pengundi.
Kita mengharapkan perjalanan sidang Parlimen akan membawa wajah baharu. Yang lebih efektif dan bertenaga. Rakyat tidak mahu tabiat buruk yang tidak menggambarkan martabat Parlimen sebagai institusi murni berulang. Institusi Parlimen perlu ditingkatkan martabat supaya ia terus dihargai dan dihormati.
Semua pemegang taruh perlu memahami fungsi Parlimen. Begitu juga tugas dan tanggungjawab wakil yang dihantar oleh rakyat sebagai “wakil rakyat” ke Dewan Rakyat.
Antara tempoh mandat 2018-2022 sidang Parlimen disajikan dengan laporan tidak semua wakil rakyat yang menghadiri sidang Dewan Rakyat sepenuhnya. Tahniah, ada yang hampir 100%.
Ada yang tidak sampai 50%. Malah ada yang lebih rendah daripada 50%. Jika kurang 50%, sebenarnya mereka tidak layak untuk menjadi wakil rakyat. Tetapi ada yang kekal dipilih oleh pengundi mereka dalam PRU15 meskipun rekod kehadiran menunjukkan sebaliknya.
Malah ada insiden sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan disebabkan tidak cukup kuorum. Isu ini berlaku setiap tahun sejak 2018. Sesuatu yang mengejutkan.
Misalnya, sesi Dewan Rakyat pada 23 Mac, 2022 pun menjadi kecoh apabila ada ahli termasuk anggota Kabinet sendiri tidak hadir semasa sesi pengundian usul bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Lagi sukar untuk diterima.
Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dipetik berkata ahli Parlimen yang melanggar peraturan termasuk membuat kenyataan berbaur seksis dalam sidang berisiko berdepan tindakan penalti sehingga RM10,000. Jelas beliau, tindakan itu boleh dilaksanakan melalui penggubalan satu peraturan yang jelas yang sedang diusahakan.
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri tidak menurunkan peruntukan khusus yang memperincikan peranan wakil rakyat dan orang ramai khususnya pengundi yang memilih tidak ada panduan tentang peranan dan tanggungjawab wakil rakyat.
Sebagai contoh, Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut bahawa ahli Parlimen yang tidak hadir persidangan selama enam bulan “tanpa kebenaran Majlis Parlimen” boleh hilang kelayakan mereka. Bermakna setiap wakil rakyat perlu menghadiri sidang yang dipanggil dari semasa ke semasa.
Sebab itu, jika kita tanya orang ramai apakah peranan wakil rakyat mereka, kebanyakan daripada mereka akan memberikan pelbagai respons ataupun tidak ada jawaban langsung. Begitu juga ramai daripada kalangan wakil rakyat yang dipilih.
Oleh itu, sebagaimana disebutkan Malike Brahim, Mohd Fo’ad Sakdan dan Musliza Mohamad satu dekad lalu, rakyat memahami peranan wakil rakyat mengikut persepsi masing-masing. Dapatan mereka membahagikan peranan wakil rakyat kepada dua iaitu “constituency roles” dan “parliamentary roles”.
Dari sudut “parliamentary roles”, wakil rakyat berperanan sebagai penggubal undang-undang dalam badan perundangan, yang merupakan peranan hakiki wakil rakyat sebagai perwakilan.
Dalam aspek “parliamentary roles” juga, wakil rakyat bertindak sebagai jurucakap, pemantau dan pengawas segala aktiviti kerajaan serta pemudah cara kepada rakyat untuk berurusan dengan kerajaan manakala “constituency roles” pula merupakan tanggungjawab wakil rakyat kepada pengundi dalam kawasan yang diwakilinya.
Setiap wakil rakyat mempunyai peranan besar dan berat dalam menterjemahkan undi yang diberikan oleh pengundi masing-masing. Wakil rakyat harus menggunakan mandat selama lima tahun yang diberikan atau sehingga Parlimen atau Dewan Undangan Negeri masih berfungsi sebelum dibubarkan untuk melunaskan harapan rakyat mentadbir dengan baik.
Selepas enam dekad dan ketika Parlimen mengadakan mesyuarat ke-15, diharap agar tiada wakil rakyat yang ponteng atau tidak hadir persidangan yang lazimnya diaturkan lebih awal. Gunakan kedudukan sebagai wakil rakyat, tidak kira anggota jemaah menteri, sama ada yang bertaraf senator atau sebaliknya, untuk memenuhi tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Data menunjukkan Dewan Rakyat hanya bersidang sekitar 60-70 hari dalam setahun. Jumlah itu bersamaan dengan 16% daripada jumlah hari setiap wakil rakyat perlu berada di Dewan Rakyat. United Kingdom bersidang lebih kurang 135 hari setahun.
Aspek itu hanya sebahagian daripada kekurangan yang memerlukan pembaharuan dalam pelbagai hala. Pembaharuan bukan sahaja harus melibatkan kerangka perundangan. Sebaliknya perlu dalam jiwa dan minda setiap wakil rakyat untuk memartabatkan institusi Parlimen.
Saya yakin Parlimen ke-15 akan merealisasikan keperluan ini demi memperkasakan sistem demokrasi. – 13 Februari, 2023.
* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen