Johor berpotensi terima pelaburan lebih RM10 bilion, kata MB


Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bersama rombongannya bertemu wakil syarikat antarabangsa di Singapura hari ini. – Gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi, 12 Februari, 2023.

JOHOR berpotensi menerima pelaburan bernilai di antara RM10 bilion hingga RM15 bilion daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, kata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata ini berikutan pertemuannya dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa antaranya AirTrunk, sebuah syarikat pusat data berskala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun; dan juga syarikat Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

“Selain mereka, saya juga berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari negara,” jelas beliau dalam kemas kini laman Facebook rasminya hari ini yang turut disertakan foto pertemuan dengan wakil syarikat itu.

Onn Hafiz ketika ini dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura yang bermula hari ini, bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik di antara republik itu dengan negeri Johor.

“Insya-Allah, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil daripada pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

“Semua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain industri bertaraf global,” katanya lagi.

Menurut beliau, kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan Persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara dari segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.

Pertemuan itu dihadiri pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan dan hal ehwal pengguna, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Mohammed Ridha Abd Kadir dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Badrul Hisham Kassim. – Bernama, 12 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen