Ada gergasi minat dengan Pejuang, kata ketua penerangan


Mohd Farhan Darwis

Ada gabungan politik besar di dalam negara kini berminat bekerjasama dengan Pejuang, kata ketua penerangan parti itu Muhammad Rafique Rashid Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

SATU gabungan politik besar di dalam negara kini berminat bekerjasama dengan Pejuang, kata ketua penerangan parti itu Muhammad Rafique Rashid Ali.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, gabungan itu berminat berbuat demikian kerana menganggap Pejuang mempunyai nilai tambah yang boleh membantu gabungan tersebut.

Rafique menyebut demikian selepas Pejuang kehilangan barisan pemimpin utamanya yang bertindak meninggalkan parti tersebut, termasuk pengasasnya Dr Mahathir Mohamad.

Beliau enggan mendedahkan gabungan yang dimaksudkannya namun menekankan pemimpin parti berkenaan nyata teruja kerana Pejuang mendapat perhatian pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

The Malaysian Insight difahamkan, Pejuang berpeluang mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) selepas mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan salah satu gabungan itu.

“Perjumpaan tidak rasmi berlaku antara pimpinan utama kita dengan beberapa pemimpin utama gabungan itu.

“Tidak ada keputusan. Kita juga belum berbincang di peringkat tertinggi, mereka juga masih belum buat ketentuan,” katanya ketika ditemui di ibu negara.

Rafique berkata nilai sederhana, inklusif serta bakat profesional yang diketengahkan sebagai calon dalam siri pilihan raya sebelum ini membuatkan gabungan tersebut tertarik dengan Pejuang.

“Kita teruja juga sebab daripada dua gabungan utama, PH dan PN ada perbincangan daripada salah satu gabungan, perbincangan secara tidak rasmi.

“Mereka lihat mungkin ada tambah nilai daripada Pejuang, walaupun tewas dan hilang deposit, serta kalah semua tempat (bertanding pilihan raya),” katanya.

Rafique berkata Pejuang kini melihat peluang sama banyak sama ada untuk bekerjasama dengan PH ataupun PN.

“Kita dalam keadaan di mana sebelah PN atau sebelah PH kita boleh menyumbang, terpulang belah mana kita nak letakkan diri kita.

“Belum ada keputusan di peringkat pemimpin tertinggi nak gabung dengan siapa,” katanya.

Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali berkata jentera parti di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah bersedia jika berhasrat menyertai PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2023.

Beliau mengakui, keputusan PRU15 dan pilihan raya negeri Johor tahun lalu memberi pengajaran perit kerana bukan sahaja semua calon Pejuang tewas, tetapi turut hilang wang pertaruhan.

Dalam pilihan raya negeri itu pada Mac, Pejuang yang menggunakan lambang sendiri tewas di kesemua 42 kerusi yang ditandinginya.

Dalam PRU15, Pejuang tewas lagi apabila bertanding di 60 daripada 126 kerusi bersama Gabungan Tanah Air (GTA), gabungan Pejuang bersama parti Putra, Berjasa dan Iman.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir juga hilang kerusi Parlimen Langkawi waktu itu, yang membawa kepada peletakan jawatannya dalam parti.

Pejuang seterusnya berpisah daripada GTA dan parti itu berdepan krisis apabila lebih 10 anggota dan pemimpin termasuk Timbalan Presiden Marzuki Yahya turut meletakkan jawatan.

The Malaysian Insight pada waktu itu difahamkan peletakan jawatan itu berkait cadangan supaya Pejuang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Semalam, Marzuki mendedahkan Dr Mahathir yang mengasaskan Pejuang juga keluar parti itu bersama 12 yang lain termasuk pemimpin kanan Pejuang.

Mereka memaklumkan keputusan itu kepada setiausaha agung parti Amiruddin Hamzah melalui sepucuk surat bertarikh 10 Februari.

Pada masa sama, parti itu meneliti peluang untuk bekerjasama dengan PH pada pilihan raya negeri (PRN) di Kedah dan Selangor yang perlu diadakan sebelum September.

Parti itu kini menyandang masing-masing dua kerusi di Kedah dan Selangor.

Presidennya Mukhriz Mahathir kini mewakili kerusi negeri Jitra sementara setiausaha agung parti Amiruddin Hamzah wakil rakyat Anak Bukit.

Di Selangor pula, Pejuang mewakili dua kerusi negeri melalui Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Harumaini Omar (Batang Kali).

Muhammad Rafique berkata, jentera parti di negeri terlibat seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah bersedia sekiranya berhasrat memasuki PRN.

Namun Pejuang juga mempertimbangkan untuk belum menetapkan sama ada akan bertanding dalam PRN di enam negeri tersebut, katanya.

“Pengajaran besar akhirnya mesti ukur baju di badan sendiri. Kita baharu, kena melihat keadaan keseluruhan buat keputusan berdasarkan data, analisis dan kekuatan kita.

“Saya rasa kalau pun kita memasuki PRN kali ini kita tak akan bertanding seluruh kerusi, mungkin pilih mana kekuatan kita, calon dan jentera. Itu kawasan yang kita bertanding,” katanya.

Katanya, Pejuang juga pada masa ini sedang menstruktur semula barisan pemimpin di semua peringkat dengan memperkuatkan keahliannya di negeri-negeri yang bakal melangsungkan PRN.

“Mungkin juga 50-50 akan bertanding, gabungan kita nak pilih, bergantung kepada di mana nilai tambah calon kita.

“Dalam politik segalanya mungkin, tetapi Pejuang masih kekal dengan prinsip jelas, menentang salah guna kuasa, kleptokrasi, rasuah dan pada masa sama Pejuang tidak ekstrem,” kata Rafique.

Oleh itu Pejuang sedang menilai pilihan terbaik demi kelangsungan parti termasuk meneliti keperluan untuk bersama gabungan politik yang kuat, katanya.

“Dari segi realitinya pengajaran paling besar daripada PRN Johor dan PRU15 kita kena berada dalam satu gabungan kuat.

“GTA mungkin waktu itu belum dikenali dan rapuh, belum ada cukup masa untuk masak, belum ada masa untuk kuat terus diuji PRU besar dan kita jatuh.”

Katanya, parti dengan 20 cawangan dan 70,000 ahli itu sememangnya memerlukan masa untuk lebih dikenali pengundi tetapi mereka tidak boleh tunggu lama, kata Muhammad Rafique.

“Tujuan kita bentuk pertubuhan Pejuang sebagai parti politik untuk bertanding dalam pilihan raya, nak bawa suara rakyat ke Dewan Rakyat dan DUN,” katanya.

Peguam itu juga menegaskan, Pejuang akan kekal dengan prinsip asas kesederhanaan dan mempertahankan integriti.

Penganalisis pula menjangka, Pejuang berisiko kehilangan empat kerusi DUN yang dikuasai tanpa membentuk sebarang kerjasama strategik dengan mana-mana gabungan dalam PRN akan datang.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya melihat parti itu mempunyai sedikit peluang sekiranya bekerjasama dengan PN kerana menawarkan calon muka baharu dan lebih segar.

“PN lebih sesuai tapi sejauh mana PN mahu menerima Pejuang. Secara strategiknya Pejuang akan mendapat lebih banyak sokongan sekiranya bersama dengan PN.

“Ini kerana ada kerusi yang mereka tak perlu bersaing terlalu sengit berbanding kerusi PH yang menjadi rebutan, termasuk antara kalangan komponen PH.

“Maka sukar PH nak terima parti yang tidak teruji seperti Pejuang,” kata Awang Azman.

Malah, asas perjuangan berteraskan Melayu dan Islam juga memudahkan Pejuang untuk bersama PN berbanding PH yang lebih bersifat pelbagai kaum, kata Awang Azman.

Kerjasama strategik itu akan membolehkan Pejuang memanfaatkan kelebihan akar umbi PN untuk bergerak memandangkan Dr Mahathir dan beberapa pemimpinnya sudah berundur.

“Masa depan Pejuang selepas ini agak tidak menentu dan dilihat kurang ada prospek.

“Untuk Pejuang kekalkan kerusi mereka agak sukar, melainkan mereka memilih PN, kemungkinan besar boleh dikekalkan (empat kerusi DUN), tetapi kalau bersama PH agak sukar,” katanya.

Pensyarah itu melihat demikian kerana Pejuang sukar maju tanpa rakan strategik kerana perlu bersaing dengan parti berteraskan Melayu, seperti PAS, Bersatu dan Umno.

“Pejuang perlukan parti lain untuk bantu kukuhkan kedudukan di akar umbi, bila bertanding PRU mereka akan disokong dari segi sokongan akar umbi daripada parti mereka cuba bernaung,” tambahnya. – 13 Februari, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen