POLIS menahan 50 individu kerana positif dadah dan memiliki bahan terlarang itu dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, 33 lelaki dan 17 wanita ditahan dalam operasi yang bermula jam 3 pagi, hasil maklumat dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat kegiatan penyalahgunaan dadah di premis itu yang beroperasi hingga jam 7 pagi serta merampas 11.83 gram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 2.87g ketamin, semuanya bernilai RM1,020.
Soffian berkata, polis turut menahan 11 wanita warga asing dari Vietnam, Thailand dan Indonesia kerana pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selain dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di situ.
“Semasa serbuan, polis menghadapi kesukaran untuk masuk ke pusat hiburan itu kerana pintu premis dikunci dari dalam dipercayai cubaan beberapa pengunjung melarikan diri dari situ.
“Namun usaha mereka ternyata sia-sia apabila semua mereka berjaya ditahan oleh pasukan serbuan yang terlebih dahulu mengepung kawasan pusat hiburan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 12 Februari, 2023.
Komen