TENTERA Austria menangguhkan operasi mencari dan menyelamat di Turkiye buat sementara waktu susulan risiko keselamatan, lapor agensi berita Jerman DPA.
“Terdapat perbalahan yang semakin meningkat antara puak di Turkiye,” pegawai tentera Pierre Kugelweis dari angkatan bersenjata Austria memberitahu agensi berita APA pada Sabtu.
Beliau juga mendakwa menerima laporan mengenai insiden tembakan.
Seramai 82 anggota unit bantuan bencana berada di wilayah Hatay di Turkiye sejak Selasa.
Mereka kekal di lokasi dan bersedia meneruskan misi selanjutnya apabila keadaan bertambah baik, katanya.
“Tiada serangan ke atas kami warga Austria. Kami semua baik-baik saja. Kami ingin terus membantu, tetapi keadaan tidak mengizinkan,” kata Kugelweis.
Di Berlin, agensi bantuan teknikal (THW) Jerman dan organisasi bantuan ISAR Germany turut mengumumkan operasi menyelamat di wilayah Hatay ditangguhkan kerana isu keselamatan.
Dalam beberapa jam kebelakangan ini, keadaan keselamatan di wilayah selatan Hatay semakin buruk, menurut organisasi itu pada Sabtu.
Pasukan mencari dan menyelamat kekal di kem pangkalan di bandar Kirikhan buat masa ini.
Sekiranya terdapat petunjuk konkrit mangsa gempa bumi masih hidup, mereka akan bergegas ke tempat kejadian, kata jurucakap THW Katharina Garrecht kepada DPA.
THW dan ISAR mengaitkan ketegangan itu antara lain berpunca akibat “kekurangan makanan dan bekalan air di kawasan bencana.” – Bernama, 12 Februari, 2023.
Komen