PIHAK berkuasa Turkiye menahan 48 individu kerana merompak atau cuba menipu mangsa selepas gempa bumi kuat melanda negara itu, lapor media kerajaan pada Sabtu.
Suspek ditahan di lapan wilayah berbeza sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap rompakan selepas gempa bumi 7.8 magnitud pada Isnin yang melanda wilayah itu, kata agensi berita Anadolu.
Ia kemudian melaporkan 42 suspek ditahan kerana merompak di wilayah selatan Hatay, manakala enam ditangkap kerana menipu seorang mangsa di Gaziantep melalui telefon.
Gempa dan gegaran susulannya mengorbankan hampir 26,000 orang di Turkiye dan Syria.
Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengumumkan keadaan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah di tenggara Turki yang terjejas akibat gegaran itu.
Pendakwa raya kini boleh menahan individu selama tiga hari tambahan daripada empat hari sebelumnya kerana jenayah rompakan sebagai sebahagian daripada kuasa lanjutan di bawah keadaan darurat, menurut dekri yang diterbitkan dalam warta rasmi pada Sabtu.
Erdogan pada awal Sabtu berikrar Turkiye akan membanteras perompak.
“Kami sudah mengumumkan keadaan darurat,” katanya semasa lawatan ke wilayah Diyarbakir yang dilanda gempa bumi.
“Ini bermakna, mulai sekarang, orang yang terlibat dalam rompakan atau penculikan harus tahu tindakan tegas yang menanti,” kata Erdogan. – AFP, 12 Februari, 2023.
Komen