POLIS Turkiye menahan 12 individu berhubung bangunan runtuh di wilayah tenggara Gaziantep dan Sanliurfa, lapor media tempatan pada Sabtu, berikutan gempa besar yang melanda Turkiye.
Mereka yang ditahan termasuk kontraktor, kata agensi berita DHA. Sekurang-kurangnya 6,000 bangunan runtuh selepas gegaran berukuran 7.8 magnitud melanda wilayah itu, mengorbankan lebih 25,000 orang, mencetuskan kemarahan terhadap kualiti perumahan yang tidak baik.
Dijangka terdapat lebih banyak penahanan selepas Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay memberitahu pemberita lewat Sabtu yang pendakwa raya mengeluarkan 113 waran tangkap berhubung bangunan tersebut.
Seorang daripada yang ditahan pada Sabtu adalah kontraktor sebuah bangunan di Gaziantep, kata agensi itu, sambil menambah beliau disoal siasat polis di Istanbul.
Pendakwa raya melancarkan gelombang siasatan di wilayah yang terjejas termasuk Kahramanmaras di mana daerah Pazarcik berada di pusat gempa.
Kementerian kehakiman Turkiye mengarahkan pendakwa raya di 10 wilayah untuk menubuhkan “pejabat khas siasatan jenayah gempa bumi”.
Pada Jumaat, polis Turkiye menahan seorang kontraktor blok aparment mewah yang tumbang di wilayah Hatay.
Beliau ditahan di lapangan terbang Istanbul selepas dilaporkan cuba melarikan diri dari negara itu. – AFP, 12 Februari, 2023.
Komen