JET pejuang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh objek tidak dikenali di ruang udara Kanada pada Sabtu—dalam operasi bersama oleh negara jiran Amerika Utara dan yang kedua ditembak sejak insiden belon pengintip China seminggu lalu.
Perdana Menteri Justin Trudeau berkata beliau mengarahkan agar pesawat menembak jatuh objek itu, yang terbaru daripada siri pencerobohan udara misteri.
“Pesawat Kanada dan AS dan sebuah F-22 AS berjaya melepaskan tembakan ke arah objek itu,” tulis Trudeau di Twitter pada Sabtu.
Trudeau berkata pasukan Kanada di Yukon akan mengutip dan menganalisis serpihan objek itu.
Beliau berkata bercakap dengan Presiden AS Joe Biden mengenai pencerobohan terbaru, manakala menteri pertahanan Kanada juga berkata beliau bercakap dengan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin.
Kedua-duanya mengesahkan akan sentiasa mempertahankan kedaulatan kami bersama-sama, tulis Menteri Pertahanan Kanada Anita Anand di Twitter.
Operasi Sabtu itu dibuat selepas AS berkata pada Rabu yang objek disyaki belon pengintip China yang ditembak jatuh adalah sebahagian daripada “armada” yang merentasi lima benua, ketika Nato turut menyuarakan kebimbangan.
Pesawat AS dan Kanada melakukan operasi bersama untuk menembak objek itu Sabtu, kata Jabatan Pertahanan AS.
“Presiden Biden memberi kuasa kepada pesawat pejuang AS yang ditugaskan ke Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (Norad) untuk bekerjasama dengan Kanada menembak objek beraltitud tinggi di utara Kanada hari ini,” kata Jurucakap Pentagon Pat Ryder dalam satu kenyataan.
Satu daripada dua jet pejuang F-22 yang memantau objek itu melepaskan peluru berpandu AIM 9X, katanya.
White House berkata Biden dan Trudeau bercakap pada Sabtu, dan “memuji kerjasama kuat dan berkesan Norad dan Komando Utara AS dan bersetuju meneruskan penyelarasan rapat mereka untuk mengesan, menjejaki dan mempertahankan ruang udara kami.”
Objek itu ditembak pada Sabtu di ruang udara Yukon, yang bersempadan dengan Alaska, lokasi satu lagi objek yang ditembak jatuh pada Jumaat, di luar pantai utara negeri AS berhampiran perkampungan Deadhorse.
Operasi mencari dan mengesan objek itu diteruskan Sabtu tetapi dihalang oleh keadaan cuaca, kata Northern Command dalam satu kenyataan.
“Aktiviti pengesanan dilakukan di atas ais laut,” katanya, sambil menambah Pentagon tidak boleh memberikan sebarang butiran lanjut mengenai objek itu, termasuk keupayaan, tujuan atau asalnya. – AFP, 12 Februari, 2023.
Komen