Gempa bumi kali ini 3 kali lebih kuat berbanding 1999, kata Erdogan


Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berjanji akan membina semula bangunan yang runtuh disebabkan gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 pada Isnin. – Gambar AFP, 11 Februari, 2023.

GEMPA bumi kuat yang melanda selatan Turkiye minggu ini tiga kali lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara di barat laut negara itu pada 1999, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu.

“Gempa bumi di selatan Turkiye adalah tiga kali lebih kuat dengan kerosakan lebih besar berbanding gempa bumi 1999 yang direkodkan sebagai bencana terbesar dalam sejarah negara,” kata Erdogan yang melihat sendiri misi mencari dan menyelamat di wilayah tenggara Diyarbakir.

Erdogan berkata, sekurang-kurangnya 21,043 orang terbunuh dan 80,097 lagi cedera sejak dua gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye melanda pada Isnin, lapor agensi berita Anadolu.

“Kini 160,000 anggota mencari dan penyelamat termasuk pasukan dari luar negara berada di 10 wilayah,” kata Erdogan yang turut bertemu mangsa gempa bumi di wilayah itu.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Pemimpin Turkiye itu merakamkan penghargaan kepada semua negara yang menunjukkan solidariti dengan menghantar pasukan penyelamat.

Erdogan sebelum ini berikrar untuk membangunkan semula wilayah yang dilanda gempa bumi dalam rancangan setahunnya.

“Kami merancang untuk membina semula ratusan ribu rumah termasuk infrastruktur dan memulihkan bandar yang rosak akibat gempa bumi.

“Kerajaan menggerakkan segala-galanya dan menggesa semua untuk yakin dan percaya kerajaan tidak akan meninggalkan rakyat hidup di jalanan dalam kesengsaraan atau kemiskinan,” katanya.

Erdogan kemudian melawat Sanliurfa. – Bernama, 11 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen