Jepun hantar pasukan perubatan, bantuan ke Turkiye


Pasukan penyelamat Jepun yang dihantar bagi kerja mencari dan menyelamat di lokasi gempa bumi Turkiye. – Gambar Twitter, 11 Februari, 2023.

JEPUN akan menghantar pasukan perubatan dan bekalan bantuan kepada penduduk di selatan Turkiye, lapor agensi berita Anadolu memetik dua kenyataan rasmi di media tempatan pada Sabtu.

“Berdasarkan kemusnahan akibat gempa bumi di Turkiye, Jepun memutuskan untuk menghantar pasukan perubatan dan bantuan barangan yang diperlukan menggunakan pesawat JSDF. Menteri Pertahanan Yasukazu Hamada mengarahkan persediaan operasi bantuan bencana antarabangsa dan menghantar pasukan pengumpulan maklumat,” menurut Twitter kementerian pertahanan Jepun.

Jepun akan membawa barangan bantuan kecemasan seperti khemah, selimut dan alas tidur melalui agensi kerjasama antarabangsa Jepun (JICA), menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian luar pada Jumaat.

Menteri Luar Yoshimasa Hayashi juga mengunjungi kedutaan Turkiye di Tokyo dan menandatangani buku takziah mangsa gempa bumi itu.

“Dalam pertemuan dengan Duta Gungen, Hayashi berkata kerajaan Jepun bersedia untuk memberi sebanyak mungkin bantuan yang diperlukan oleh Turkiye dan menyatakan solidariti Jepun kepada Turkiye,” katanya.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6, berpusat di wilayah Kahramanmaras menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Sekurang-kurangnya 20,665 orang dilaporkan terkorban manakala 80,088 lagi cedera.

Menurut pengurusan bencana dan kecemasan Turkiye, lebih 120,344 anggota mencari dan menyelamat kini berada di zon bencana dan lebih 80,863 orang dipindahkan. – Bernama, 11 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen