PASUKAN penyelamat dapat mengeluarkan dengan selamat empat mangsa gempa termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun daripada runtuhan bangunan di Syria semalam, empat hari selepas gempa itu berlaku yang menyebabkan lebih 20,000 terkorban setakat ini di Syria dan Turkiye.
Sukarelawan dapat mengeluarkan Musa Hmeidi dari bawah runtuhan bangunan di bandar Jandairis yang ditawan pemberontak.
Berpuluh-puluh penduduk yang berada di situ bertepuk tangan dan bersyukur apabila ada mangsa terselamat ditemui di bawah serpihan runtuhan.
Sementara itu, di Jableh, pasukan kecemasan dapat menarik keluar tiga lagi mangsa terselamat daripada bawah runtuhan, kata agensi berita SANA.
Penemuan empat mangsa yang masih hidup itu adalah satu keajaiban kerana pakar berkata lebih 90% mangsa terselamat biasanya ditemui dalam tempoh tiga hari pertama selepas bencana sebesar itu berlaku.
Wajah kanak-kanak lelaki yang berjaya diselamatkan itu bengkak dan dirawat di tempat kejadian.
“Musa diselamatkan daripada bawah runtuhan pada hari kelima selepas gempa bumi,” kata Abu Bakr Mohammed, seorang sukarelawan yang membawa keluar kanak-kanak itu.
“Dia mengalami kecederaan ringan sementara abangnya meninggal dunia. Ahli keluarganya yang lain masih berada di bawah runtuhan. Kami tidak tahu nasib mereka lagi setakat ini.”
Penyelamat dan penduduk berusaha keras mencari mangsa terselamat dengan kekurangan peralatan, ada yang menggunakan tangan menggali di bawah runtuhan.
Pada Selasa, pasukan penyelamat di Jandairis menemui seorang bayi perempuan baru lahir, masih hidup di bawah runtuhan, dengan tali pusatnya masih melekat pada ibunya yang sudah meninggal dunia.
Gempa bumi itu menyebabkan lebih 20,000 terkorban di Turkiye dan Syria, dalam satu bencana yang paling buruk di wilayah itu. Enam mangsa terselamat ditemui di Turkiye semalam. – AFP, 11 Februari, 2023.
Komen