AS tembak objek asing di ruang udara Alaska


Jurucakap Pentagon Brigediar Jeneral Pat Ryder menjawab soalan media di White House berkenaan satu objek asing yang terbang di ruang udara Alaska ditembak jatuh, semalam. – Gambar AFP, 11 Februari, 2023.

JET pejuang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh satu objek asing yang terbang di ruang udara Alaska semalam, kata White House.

Enam hari lalu, AS juga menembak jatuh belon pengintip yang didakwa milik China sehingga kehadiran objek itu mencetuskan perselisihan diplomatik terbaru dengan Beijing.

Mendedahkan perkara itu, Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan White House John Kirby berkata pihaknya tidak jelas tujuan objek itu memasuki ruang udara kawasan berkenaan sehingga terpaksa bertindak menembaknya.

Beliau berkata objek berkenaan terbang pada ketinggian 40,000 kaki dan ia memberi ancaman terhadap penerbangan awam.

“Presiden Joe Biden mengarahkan tentera untuk menembak jatuh objek itu,” katanya.

Ketika diajukan soalan mengenai insiden itu di White House, Biden berkata tindakan menembak jatuh objek berkenaan adalah satu kejayaan.

Menjelaskan lebih lanjut objek berkenaan, Kirby berkata ia jauh lebih kecil berbanding belon milik China yang melintasi ruang udara AS pada minggu lalu.

Beliau berkata objek itu ditembak jatuh oleh jet pejuang AS di pinggir laut Atlantik pada Sabtu lalu.

“Saiznya seperti kereta kecil.

“Kami tidak tahu siapa pemiliknya, sama ada kepunyaan negara tertentu atau korporat. Kami tidak faham tujuan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pentagon Brigediar Jeneral Pat Ryder berkata jet pejuang jenis F-22 Raptor digunakan untuk melancarkan peluru berpandu AIM-9X dalam operasi itu. – AFP, 11 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen