Lagi dokumen sulit ditemui di rumah Mike Pence


FBI temui dokumen sulit kerajaan di rumah bekas naib presiden Mike Pence di Carmel, Indiana dalam satu operasi semalam. – Gambar AFP, 11 Februari, 2023.

FBI menemui dokumen sulit tambahan di sebuah rumah milik bekas naib presiden Mike Pence semalam, dua minggu selepas anggota Republican itu mengakui ada menyimpan fail kerajaan di rumahnya.

Jurucakap Pence, Devin O’Malley dalam satu kenyataan kepada media AS berkata ejen FBI menemui dokumen itu selepas melakukan pemeriksaan selama lima jam di Carmel, Indiana dan operasi itu dilakukan dengan kebenaran Pence.

Mereka membawa keluar satu dokumen yang ditanda sulit dan enam lagi dokumen tanpa tanda sulit yang sebelum ini tidak ditemui, katanya.

Operasi mencari itu dibuat selepas Pence, yang mungkin bertanding pilihan raya presiden pada 2024, melaporkan bulan lalu pegawai khasnya menemui dokumen sulit, mungkin diambil bersama dokumen lain ketika beliau meninggalkan White House pada Januari 2021.

Ia diikuti dengan operasi mencari di rumah Presiden Joe Biden dan bekas presiden Donald Trump yang turut menemui dokumen sulit.

Bekas pegawai tinggi AS wajib menyerahkan semua dokumen rasmi zaman pentadbiran mereka di White House kepada Arkib Negara.

Skandal tercetus apabila ejen FBI menyerbu rumah Trump di Mar-a-Lago di Florida pada Ogos lalu dan mendapati sejumlah dokumen sulit, selepas Trump bertegas mengatakan tidak menyimpan sebarang dokumen rasmi. – AFP, 11 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen