SERANGAN pengebom bunuh diri yang dilancarkan kumpulan IS terhadap tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Aden pada Selasa menyebabkan lima terbunuh dan ramai lagi cedera.
Serangan yang berlaku di utara bandar itu terkena sebuah dewan menempatkan tentera sekutu kerajaan Yaman, UAE, kata sumber pasukan keselamatan.
Sekurang-kurangnya lima orang disahkan terbunuh manakala 18 lagi cedera, menurut sumber dan menambah kebanyakan mangsa adalah pejalan kaki yang kebelutan melalui kawasan berkenaan dan juga kakitangan dapur dewan terbabit.
Wartawan AFP menyaksikan sekurang-kurangnya lima mayat dikeluarkan daripada bangunan yang musnah itu.
Beberapa buah kereta yang diletakkan berhampiran bangunan berkenaan turut musnah.
IS mengaku sebagai dalang serangan berkenaan yang dilakukan menggunakan bom kereta di kawasan Dareen di daerah Mansoura di Aden.
Aden dikuasai tentera kerajaan Yaman dan sekutunya pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi, yang memerangi pemberontak Huthi yang kini menguasai kebanyakan kawasan di ibu negara berkenaan Sanaa, dan beberapa kawasan di bahagian utara negara itu. – AFP, 13 Mac, 2018.
Komen