Bekas timbalan presiden Mike Pence disapina


Pengawal Nasional dilihat di luar bangunan Capitol AS selepas berjaya menyuraikan penunjuk perasaan pro-Trump pada 6 Januari, 2021. – Gambar EPA, 10 Februari, 2023.

BEKAS timbalan presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence disapina oleh peguam khas yang menyelia siasatan terhadap bekas presiden Donald Trump, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media.

Media AS memetik sumber sebagai berkata bahawa peguam khas Jack Smith sedang meneliti dokumen dan keterangan mengenai insiden serangan ke atas bangunan Capitol (Kongres) pada 6 Januari, 2021.

Smith mengetuai siasatan Jabatan Kehakiman terhadap dokumen sulit yang dijumpai di kediaman Trump di Mar-a-Lago di Florida dan siasatan berasingan melibatkan insiden 6 Januari.

Penyokong Trump bertindak ganas mengepung bangunan Capitol lebih dua tahun lalu, merempuh penghadang dan menyerang polis sebelum menceroboh bangunan yang disifatkan oleh ramai rakyat Amerika sebagai benteng demokrasi.

Trump memohon agar penyokongnya berkumpul di ibu negara itu meskipun dakwaannya masih belum terbukti mengenai penipuan dalam pilihan raya presiden pada 2020 yang mengakibatkan beliau kalah kepada Joe Biden dengan lebih tujuh juta undi.

Lima maut akibat keganasan pada 6 Januari. – Bernama, 10 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen