Gempa bumi di Kahramanmaras paling kuat dalam tempoh 100 tahun di Turkiye


Mesut Hancer memegang tangan anak perempuannya berusia 15 tahun yang maut dalam gempa bumi di wilayah Kahramanmaras. – Gambar AFP, 10 Februari, 2023.

SELAMA lebih 100 tahun, wilayah antara Türkiye dan Syria tidak pernah menyaksikan gempa bumi dahsyat seperti yang berlaku di wilayah Kahramanmaras, Turkiye baru-baru ini, kata pengarah Perkhidmatan Seismologi Switzerland Stefan Wiemer.

Wiemer berkata demikian dalam saluran televisyen Switzerland SRF, ketika mengulas mengenai dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter yang menjejaskan 10 wilayah di selatan Türkiye pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Ia bukan satu kebetulan gempa bumi kuat kerap berlaku antara kedua-dua negara berkenaan, katanya.

“Ia berpunca daripada sesar Anatolia Timur, di mana ketegangan terkumpul dan dilepaskan, terutamanya membabitkan kejadian gempa bumi 7.7 pada skala Richter.

“Gempa bumi sebegini sangat jarang berlaku.

“Gempa bumi berukuran 8 pada skala Richter berlaku mungkin sekali setahun di dunia,” katanya.

Sambil meramalkan gegaran susulan berlanjutan selama beberapa hari, minggu dan juga berbulan-bulan selepas bencana, Wiemer berkata secara amnya kekerapan dan kekuatannya akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Bencana itu mengorbankan 17,674 nyawa manakala 72,879 lagi cedera setakat ini, menurut Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay. – Bernama, 10 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen