Adun DAP gesa universiti longgar kod pakaian pelajar


Adun Tanah Rata Ho Chi Yang berkata pelaksanaan kod etika berpakaian yang ketat hanya akan mewujudkan kerenah birokrasi yang tidak perlu di universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari 2023.

UNIVERSITI awam sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memupuk bakat pelajar, bukan mengetatkan etika berpakaian, kata Adun Tanah Rata.

Ho Chi Yang dari DAP seterusnya menggesa pihak universiti melonggarkan peraturan dan memberi sedikit kebebasaan kepada pelajar dalam berpakaian.

Pengarah Biro Hal-Ehwal Universiti Pemuda DAP itu mengulas tindakan Universiti Teknologi Malaysia baru-baru ini mendenda pelajar kerana  mewarnakan rambut atau memakai banyak subang.

Universiti Utara Malaysia pula mengeluarkan notis memaklumkan semua pelajar diwajibkan memakai kasut kulit tali leher semasa menghadiri peperiksaan, manakala pelajar lelaki mesti memakai tali leher.

“Universiti sebagai pusat pemikiran kritis dan kreatif sepatutnya komited melahirkan graduan yang berani mempersoal, mengkritik serta berinovasi.

“Bagaimanapun, pelaksanaan etika berpakaian yang ketat hanya akan mewujudkan kerenah birokrasi yang tidak perlu di universiti, yang seterusnya tidak membantu dalam usaha memupuk bakat pelajar,” kata Ho dalam kenyataan.

Tambahnya, di peringkat persekutuan sendiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kebanyakan menteri Kabinet memilih untuk tidak memakai tali leher semasa menjalankan tugas rasmi.

Begitu juga di Dewan Rakyat, di mana ahli Parlimen dikecualikan daripada memakai tali leher semasa menghadiri persidangan, kata Ho.

“Saya menyeru semua universiti supaya mengikut langkah Kabinet dan Parlimen dengan melonggarkan kod etika berpakaian, serta tidak mendenda pelajar.

“Pada masa yang sama, Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu menggalakkan keterbukaan dan pembaharuan dengan mengarahkan universiti menghormati kebebasan pelajar dalam berpakaian,” katanya. – 10 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen