Pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi pamer cukai jalan


Kementerian Pengangkutan umum pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing berkuat kuasa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari 2023.

PEMILIK kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing berkuat kuasa hari ini, umum Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata ia sebahagian daripada usaha kementeriannya melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.

“Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal (warganegara), mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mulai hari ini pemilik kenderaan persendirian warganegara Malaysia boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan
LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis (secara in-house).

“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital. 

“Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat,” kata Loke.

Bagaimanapun, kata beliau, pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia masih masih boleh mempamer cukai jalan dan menggunakan kad fizikal lesen memandu dalam tempoh interim.

Bagi merealisasikan inisiatif pendigitalan tersebut, orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery.

“Dengan adanya aplikasi MyJPJ di hujung jari, pengguna dapat menyemak butiran semasa dan membuat paparan LKM Digital dan LMM Digital apabila keadaan memerlukan,” kata Loke.

Semakan setakat jam 10.50 pagi ni bagaimanapun mendapati pemilik kenderaan masih belum dapat mendaftar sebagai pengguna baharu di portal itu.

Menurut Loke, dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama ini beberapa kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan masih wajib mempamerkan cukai jalan dan mengemukakan kad LMM.

Bagi kategori LLM, mereka ialah pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL), pemegang Lesen Vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang lesen memandu Malaysia bagi warganegara asing dan pemegang lesen memandu negara luar oleh pemandu warganegara asing (IDP).

Bagi kategori LKM pula membabitkan LKM persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warganegara asing serta kenderaaan perdagangan meliputi kenderaaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.

Dalam pada itu Loke menegaskan tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai cukai jalan atau lesen memandu yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90 (1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 10 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen