CHILE semalam mengumumkan perintah berkurung sebelah malam di wilayah selatan-tengah di mana kebakaran hutan berlaku lebih seminggu lalu, menyebabkan 24 maut setakat ini.
Perintah berkurung tengah malam hingga 5 pagi itu berkuatkuasa bermula hari ini di 28 kawasan di wilayah terjejas teruk termasuk Biobio, Nuble dan La Araucania, kata ketua tentera Biobio Jorge Keitel.
Langkah itu bertujuan menghalang kejadian curi dan merompak di kawasan terjejas dengan kira-kira 5,600 anggota bomba Chile, dengan bantuan pakar dan Mexico, Colombia, Sepanyol dan Argentina bergelut untuk memadam 90 kebakaran daripada 232 lokasi yang masih aktif.
Usaha memadam kebakaran terhalang apabila pesawat tangki dari Amerika Syarikat yang dihantar ke Chile, mengalami masalah mekanikal kali kedua minggu ini.
Pesawat itu dapat menyimbah kira-kira 36,000 liter air.
Kebakaran berlaku berpunca daripada suhu panas melebihi 40 darjah selsius di kebanyakan wilayah ketika keadaan kemarau, dan pihak berkuasa bimbang ia akan merebak ke wilayah lain.
Kebakaran itu menyebabkan 24 maut setakat ini dan lebih 2,000 yang lain cedera, memusnahkan lebih 300,000 hektar hutan.
Lebih 1,200 rumah musnah menyebabkan lebih 5,500 hilang tempat tinggal, menurut data rasmi.
Kira-kira 20 individu ditahan kerana disyaki memulakan kebakaran. – AFP, 10 Februari, 2023.
Komen