KONVOI bantuan tiba di barat laut Syria yang dikuasai pemberontak pada Khamis, yang pertama sejak gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye dan Syria, kata seorang pegawai di sempadan Bab al-Hawa.
Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter awal Isnin mengorbankan hampir lebih 21,000 orang di Turkiye dan Syria yang dilanda perang, menurut pegawai dan pegawai perubatan di kedua-dua negara.
“Konvoi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama masuk hari ini,” kata pegawai media Mazen Alloush.
Enam trak melalui persimpangan dari Turkiye, menurut wartawan AFP, membawa khemah dan produk kebersihan.
Alloush berkata penghantaran itu sebenarnya dijangka tiba sebelum gempa pada Isnin.
“Ia boleh dianggap sebagai tindak balas awal daripada PBB dan seperti yang dijanjikan ia harus disusuli konvoi yang lebih besar untuk membantu rakyat kami.”
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dalam satu kenyataan berkata bantuan yang dihantar termasuk selimut, tilam, khemah dan barangan asas untuk menampung keperluan sekurang-kurangnya 5,000 orang.
“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyokong dalam apa jua cara yang kami boleh, dan berharap bantuan akan segera sampai kepada mereka yang paling teruk terjejas,” kata Ketua IOM Antonio Vitorino.
Pasukan penyelamat White Helmets yang beroperasi di kawasan yang dikuasai pemberontak bagaimanapun kecewa dengan bantuan itu, berkata ia sebahagian daripada penghantaran “rutin”.
“Ini bukan bantuan dan peralatan khas untuk pasukan mencari dan menyelamat.
“Kami sangat kecewa kerana ketika ini kami amat memerlukan peralatan untuk mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan di Twitter. – AFP, 10 Februari 2023.
Komen