Angka korban gempa Turkiye, Syria kini lebih 21,000 orang


Pemandangan dari atas memaparkan bangunan yang musnah akibat gempa di bandar Jindayris, Syria. – Gambar AFP, 10 Februari 2023.

ANGKA kematian akibat gempa bumi besar yang melanda Turki dan Syria kini meningkat kepada lebih 20,000 orang pada Khamis, ketika harapan untuk mencari mangsa yang terselamat semakin pudar.

Seramai 17,674 orang disahkan terkorban di Turkiye, manakala 3,377 lagi di Syria, menjadikan jumlah keseluruhan angka kematian setakat ini 21,051, lapor AFP memetik kenyataan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menjangkakan jumlah korban boleh mencecah sehingga 20,000 orang berdasarkan pengalaman bencana sama sebelum ini.

Dua gempa bumi masing-masing bermagnitud 7.7 dan 7.6 magnitud melanda selatan Turkiye dan Syria pada Isnin.

Bencana itu disifatkan sebagai gempa bumi paling kuat sejak 1939, yang mengorbankan 33,000 orang di Erzincan.

Seorang ahli seismologi Turkiye meramalkan gempa bumi kuat baharu mungkin berlaku tidak lama lagi di kawasan pelabuhan Canakkale Turkiye di Laut Marmara susulan peningkatan aktiviti seismik di sana. – 10 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen