China bidas kenyataan Biden terhadap Xi 


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata Xi Jinping akan berdepan "masalah besar", termasuk ekonomi yang tidak berfungsi dengan baik, susulan pertikaian berhubung belon China di ruang udara AS yang didakwa digunakan untuk pengintipan. – Gambar EPA, 9 Februari, 2023.

BEIJING pada Khamis membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden bahawa pemimpin China Xi Jinping menghadapi “masalah besar”, menyifatkan kenyataan itu “sangat tidak bertanggungjawab”.

Dalam temu bual dengan PBS NewsHour pada Rabu, Biden berkata China dikekang dalam keupayaannya untuk menghadapi Amerika Syarikat oleh keperluan untuk melindungi perdagangan antarabangsa, dan Xi sendiri berada dalam kedudukan yang tidak boleh dicemburui.

China membalas kenyataan itu Khamis, dengan jurucakap kementerian luar Mao Ning memberitahu media bahawa Beijing “sangat tidak berpuas hati”.

“Retorik dari AS ini sangat tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan etika diplomatik asas,” kata Mao, sambil menambah bahawa Beijing tegas menentang perkara ini.

Selepas pertemuan G20 November antara Biden dan Xi, hubungan AS-China menjadi tegang berikutan kemunculan belon China berketinggian tinggi di ruang udara AS, yang ditembak jatuh oleh Tentera Udara AS pada Sabtu.

AS mendakwa belon itu bertujuan untuk pengintipan—dakwaan yang telah dinafikan China, dengan alasan ia adalah peranti pemerhatian cuaca yang tersasar daripada laluannya.

Dalam wawancaranya hari Rabu, Biden mempertahankan keputusan untuk menembak jatuh belon itu dan menegaskan bahawa AS tidak mencetuskan konflik dengan China.

Tetapi beliau juga berkata Xi mempunyai “masalah besar”, termasuk “ekonomi yang tidak berfungsi dengan baik”.

“Bolehkah kamu fikirkan mana-mana pemimpin dunia lain yang akan bertukar tempat dengan Xi Jinping? Saya tidak dapat memikirkannya,” kata Biden. – AFP, 9 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen