China terima penghantaran arang batu Australia pertama sejak 2 tahun 


Arang batu digunakan dalam industri pembuatan keluli untuk pasaran China. – Gambar AFP, 9 Februari, 2023.

PENGHANTARAN arang batu Australia pertama ke China dalam tempoh lebih dua tahun semakin hampir pada Khamis, menurut data perkapalan dan laporan media. 

Ia berikutan ketegangan antara dua kuasa Pasifik menunjukkan tanda-tanda reda.

Pernah menjadi rakan dagang rapat, Beijing dan Canberra bertelagah dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai isu termasuk operasi pengaruh China di luar negara, tindakan keras di Xinjiang dan Hong Kong, dan asal-usul pandemik Covid-19.

Ketegangan politik itu merebak ke ekonomi, dengan China secara senyap menyekat pelbagai barangan Australia—termasuk arang batu—dan membekukan hubungan peringkat tinggi pada 2020.

Tetapi hubungan semakin baik sejak Perdana Menteri Anthony Albanese memegang jawatan tahun lalu, dan Menteri Luar Penny Wong menjadi diplomat tertinggi Canberra yang pertama melawat Beijing dalam tempoh empat tahun pada Disember.

Menurut platform data perkapalan MarineTraffic, sebuah kapal yang dipanggil Magic Eclipse berlabuh di luar pantai bandar Zhanjiang di selatan China pada Khamis, selepas berlepas bulan lalu dari Hay Point di Queensland Australia.

Pengangkut itu dipenuhi muatan arang batu—digunakan terutamanya untuk pembuatan keluli—bagi pasaran China, lapor Bloomberg.

Akhbar Global Times milik kerajaan China, yang tidak dianggap sebagai lidah rasmi negara itu, melaporkan arang batu berkenaan akan dihantar ke kemudahan pengeluaran tempatan yang dikendalikan oleh Baosteel, pengeluar keluli terbesar di dunia.

Sumber di Baosteel pada Khamis memberitahu AFP mereka tidak biasa dengan situasi itu.

Jurucakap kerajaan Australia memberitahu AFP pada Khamis bahawa Canberra “menyedari laporan bahawa penghantaran arang batu Australia akan tiba di pelabuhan di China malam tadi”.

“Penghantaran masih memerlukan pelepasan kastam,” kata sumber terbabit.

Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Perdagangan Canberra Don Farrell berkata “sebarang langkah ke arah menyelesaikan sekatan perdagangan akan dialu-alukan”.

Farrell pada awal minggu ini berkata beliau telah membincangkan “penyambungan semula perdagangan sepenuhnya” dengan Menteri Perdagangan China Wang Wentao dalam satu sidang video.

Pertemuan itu mewakili “langkah penting dalam penstabilan hubungan Australia dengan China”, tambahnya. – AFP, 9 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen