Turkiye hargai bantuan China, kata duta


Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda Turkiye pada Isnin lalu mengakibatkan jumlah kematian dan kecederaan serta kerugiaan harta yang besar. – Gambar AFP, 9 Februari, 2023.

GEMPA bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda Turkiye pada Isnin lalu mengakibatkan jumlah kematian dan kecederaan serta kerugiaan harta yang besar.

Bantuan segera kerajaan China dengan menghantar pasukan penyelamat bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) disambut baik dan dihargai oleh Duta Turkiye ke China, Abdulkadir Emin Önen. 

“Turkiye dan China merupakan dua negara yang saling membantu ketika menghadapi kesukaran.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Turkiye, saya mengucapkan terima kasih atas bantuan kerajaan dan rakyat China,” kata beliau yang turut hadir pada majlis menghantar pasukan penyelamat China.

Sejak mula menyandang jawatan duta ke China pada 2017, Emin Önen menyaksikan banyak bantuan yang dihulurkan China terutama ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata China tidak lokek untuk berkongsi pengalaman melawan wabak dan menyediakan bantuan dalam pelbagai cara termasuk vaksin Covid-19 kepada Turkiye.

“Apabila gempa bumi melanda kali ini, China segera menghantar pasukan penyelamat dan menyediakan bantuan kecemasan.

“Bantuan China pada saat yang sulit amat menyentuh hati rakyat Turkiye dan tindakan China membuktikan kebenaran di sebalik pepatah Turkiye iaitu ‘temui sahabat yang sejati pada waktu paling sulit’,” kata Emin Önen.

Pasukan SAR Profesional Antarabangsa China itu dilengkapi dengan anggota yang mahir serta berpengalaman dan peralatan berat yang canggih yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pasukan SAR profesional itu terdiri daripada 82 anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamatan Beijing, Pusat SAR Kecemasan Gempa Bumi dan Hospital Am Kecemasan.

Antara peralatan itu termasuk alat yang boleh digunakan untuk menjalankan operasi di dua tempat secara serentak, alatan komunikasi dan perubatan seberat 20 tan serta empat ekor anjing pengesan.

Pada 1.30 pagi tadi penyelamat China yang bekerjasama dengan pasukan penyelamat tempatan berjaya menyelamatkan seorang ibu mengandung daripada bawah runtuhan bangunan lapan tingkat. – Bernama, 9 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen