PENDUDUK keturunan Asia yang tinggal di California, Amerika Syarikat (AS) jauh lebih risau menjadi mangsa keganasan senjata api dan jenayah kebencian berbanding kumpulan kaum dan etnik lain, memetik laporan Pusat Penyelidikan Dasar Kesihatan UCLA dan Data AAPI.
Dua pertiga daripada orang Asia dan penduduk asli Hawaii serta Kepulauan Pasifik berkata mereka “sangat bimbang” atau “agak bimbang” menjadi mangsa keganasan senjata api berbanding purata 43% kaum lain.
Sebagai perbandingan, 49% responden Hispanik, 45% responden kulit hitam dan 30% responden kulit putih berkata mereka “sangat bimbang” atau “agak bimbang” menjadi mangsa keganasan senjata api.
Laporan itu memetik Tinjauan Temuduga Kesihatan California 2021, tinjauan tahunan UCLA (University of California, Los Angeles) yang menemu bual lebih 20,000 isi rumah di California.
Sebanyak 70% penduduk yang berasal dari Korea paling menyatakan kebimbangan diikuti oleh 66 peratus penduduk yang berasal dari Filipina dan Cina manakala 62% lagi mereka dari Vietnam, lapor Xinhua.
Pengasas Data AAPI dan profesor dasar awam di UC Riverside Karthick Ramakrishnan berkata beberapa faktor mungkin menyumbang kepada tahap ketakutan yang lebih tinggi termasuk laporan jenayah kebencian dan insiden kebencian terhadap penduduk Asia semasa pandemik.
Beliau menjangkakan jika kaji selidik sama dijalankan hari ini, sebahagian besar orang Asia akan menyuarakan kebimbangan mengenai keganasan senjata api selepas dua insiden tembakan besar-besaran dalam komuniti AAPI (Asian American Pacific Islander) di Half Moon Bay dan Monterey Park yang berlaku baru-baru ini.
“Kawalan senjata api adalah isu Asia Amerika, ia tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya… Pandangan orang Asia Amerika perlu diambil kira,” kata Ramakrishnan. – Bernama, 9 Februari, 2023.
Komen