PESURUHJAYA PAS Perak Razman Zakaria memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar kerana menuduhnya membenarkan amalan LGBT dalam satu ceramah semasa kempen pilihan raya umum November lepas.
Beliau membuat permohonan maaf itu di Mahkamah Tinggi Taiping sebagai penyelesaian terhadap saman fitnah yang dikemukakan terhadapnya oleh Anwar.
Peguam SN Nair yang mewakili Anwar berkata anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu demi kepentingan semua pihak.
“Apabila seorang individu menyesal (atas perbuatannya) dan memohon maaf dengan suci hati, seorang pemimpin yang baik budinya akan menerima permohonan maaf itu dan menarik balik saman,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today di Taiping.
Menurut Nair, permohonan maaf itu sekali gus menyangkalkan tuduhan terhadap Anwar.
Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Razman berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau akan menggalakkan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika diangkat sebagai perdana menteri.
Razman yang juga Adun Gunong Semanggol membuat dakwaan itu semasa berucap di pasar malam Tebuk Panchor yang juga disiarkan secara langsung melalui akaun Facebooknya.
Dalam samannya Anwar menyifatkan kenyataan itu satu fitnah terhadap dirinya yang membawa maksud beliau seorang yang cenderung pada kelakuan songsang, menggalakkan perkahwinan sejenis dan mengamalkan serta menyokong ideologi komunis
Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya. – 9 Februari, 2023.
Komen