AUSTRALIA akan menurunkan semua kamera litar tertutup buatan China di bangunan kerajaan, kata menteri pertahanan, kerana penting untuk memastikan semua bangunan benar-benar selamat.
Ia susulan tindakan sama di Amerika Syarikat (AS) dan Britain, di mana kedua-dua negara mengambil langkah menghentikan pemasangan kamera buatan China di jabatan kerajaan dan kawasan sensitif.
Britain bertindak demikian pada November tahun lalu kerana bimbang syarikat China mungkin dipaksa berkongsi maklumat dengan perkhidmatan keselamatan Beijing.
Kamera keselamatan dipasang di lebih 200 bangunan kerajaan Australia – menurut angka rasmi dikumpul ahli politik pembangkang – termasuk sekurang-kurangnya satu yang dikendalikan Jabatan Pertahanan.
Menteri Pertahanan Richard Marles berkata pihak berkuasa akan mencari dan menurunkan semua kamera di kawasan tentera.
“Perkara ini amat penting dan kita akan perbaiki keadaan,” katanya.
Kamera berkenaan dibuat oleh syarikat Hikvision dan Dahua, di mana kedua-duanya sudah disenaraihitam di AS.
AS melarang import peralatan pemantauan dibuat dua syarikat itu pada November tahun lalu atas alasan risiko keselamatan negara.
Di Britain, sekumpulan 67 ahli Parlimen dan orang besar mendesak kerajaan mengharamkan Hikvision dan Dahua pada Julai tahun lalu susulan laporan peralaran mereka digunakan untuk mengintip masyarakat Uyghur di Xinjiang. – AFP, 9 Februari, 2023.
Komen