Penyelamat kesal bantuan masih belum tiba di Syria


Anggota pasukan dan menyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Idlib, Syria ekoran gempa bumi besar yang melanda pada Isnin. – Gambar AFP, 9 Februari 2023.

PASUKAN penyelamat di Syria kesal kerana bantuan lebih banyak tertumpu di Turkiye dan masih belum tiba di negara tersebut yang juga teruk dilanda gempa bumi, lapor agensi media.

Al-Jazeera melaporkan, belum ada mana-mana konvoi kemanusiaan merentasi sempadan ke Syria, terutama ke wilayah barat laut negara itu yang terjejas teruk.

Agensi itu melaporkan, pasukan negara itu memerlukan bantuan segera bagi menyelamatkan ratusan warganya yang masih terperangkap dan mengeluarkan ribuan lagi yang maut.

Ia memetik kenyataan anggota sukarelawan perubatan Obaida Rannoush yang menggesa pemimpin dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi perhatian kepada Syria.

“Saya menggesa komuniti antarabangsa, negara Arab dan PBB agar membantu kami segera.

“Sudah lebih 60 jam sejak gempa berlaku, ratusan mangsa masih terperangkap dalam runtuhan. Kami tidak dapat membantu mereka kerana sumber terhad.

“Kami perlukan jentera berat, bantuan kemanusiaan dan bantuan perubatan,” katanya dalam laporan disiarkan semalam.

Pertubuhan Kesihatan Dunia pada Rabu mengumumkan akan menghantar pasukan bantuan dan tiga penerbangan membawa bekalan perubatan ke Turkiye dan Syria.

Sistem kesihatan Syria sudahpun lumpuh ekoran perang yang berlarutan di negara itu dan tidak mampu menangani ribuan orang yang cedera.

Setakat hari ini, hampir 3,000 orang disahkan maut di Syria dan lebih 12,300 orang di Turkiye. – 9 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen