SEORANG pemandu bas merempuh kenderaan dipandunya ke arah sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Montreal, semalam, menyebabkan dua kanak-kanak berusia empat tahun maut.
Polis mengesyaki kemalangan itu berlaku dengan disengajakan.
Seorang kanak-kanak maut di tempat kejadian sementara seorang lagi maut ketika berada di dalam ambulans, kata pihak berkuasa.
Dalam kejadian itu, beberapa kanak-kanak terperangkap di bawah bas terbabit ketika ia merempuh bangunan di kawasan pinggir bandar Laval kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan.
“Kami fikir ia sengaja dilakukan, tetapi kami tidak tahu motifnya,” kata ketua polis tempatan Pierre Brochet.
Suspek berusia 51 tahun dikenali sebagai Pierre Ny St-Amand, kelihatan gelisah ketika tampil di hadapan mahkamah menerusi persidangan video semalam.
Dia berdepan sembilan pertuduhan termasuk cubaan membunuh.
Enam lagi kanak-kanak dibawa ke hospital, kata polis.
Seorang saksi Hamdi Ben Chaabane berkata beliau yang tinggal berhampiran tadika itu tiba di tempat kejadian dan mendapati pemandu terbabit berkelakuan aneh.
“Dia buka pintu, tanggalkan semua pakaian. Dia bogel,” katanya.
“Kami tidak tahu kenapa dia buat begitu, kami cuba menenangkannya,” katanya.
St-Amand enggan bercakap tetapi mengangguk ketika menjawab soalan hakim, senyum lebar dan berkali-kali cuba untuk duduk dari katil di mana dia digari.
Kes akan didengar semula pada 17 Februari. – AFP, 9 Februari, 2023.
Komen