AUSTRALIA berikrar untuk memastikan Rusia bertanggungjawab terhadap insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, selepas penyiasat antarabangsa menghentikan siasatan kerana kekurangan bukti.
Pasukan penyiasat berkata terdapat “petunjuk kukuh” PresidenVladimir Putin meluluskan pembekalan sistem peluru berpandu kepada pemisah pro-Rusia semasa pertempuran di timur Ukraine. Siasatan bagaimanapun dihentikan kerana tiada bukti mencukupi untuk dibawa kepada pihak pendakwaan.
Pesawat penumpang MH17 itu ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. Pesawat itu membawa 196 orang Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 penduduk Australia.
Menteri Luar Australia Penny Wong dan Peguam Negara Mark Dreyfus hari ini berkata Rusia sebelum berulang kali cuba mengagalkan siasatan terhadap insiden tersebut, jadi tidak mustahil jika penyiasat merumuskan mereka tidak memperoleh cukup bukti.
Wong dan Dreyfus dalam satu kenyataan bersama berkata pencerobohan haram dan tidak bermoral Rusia ke atas Ukraine serta kurang kerjasama negara itu menyebabkan usaha berterusan untuk menyiasat dan mengumpul bukti adalah mustahil dilakukan ketika ini.
Kenyataan itu menyebut Australia akan memastikan Rusia dipertanggungjawabkan atas peranannya menembak jatuh pesawat awam.
Walaupun Rusia sering menafikan terbabit dalam tragedi itu, Australia dan Belanda pada Mac tahun lalu telah memulakan tindakan undang-undang bersama menerusi agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Mahkamah Belanda pada November lalu memutuskan dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Tiga individu berkenaan – Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko – tidak pernah hadir pada prosiding, menyebabkan mahkamah memutuskan mereka dibicarakan secara ‘in absentia’ di bawah undang-undang Belanda. – AFP, 9 Februari 2023.
Komen