Jakim saran masjid seluruh negara ambil inisiatif bantu mangsa gempa bumi


Masjid disaran adakan inisiatif seperti mengadakan solat hajat dan melancarkan kutipan derma bagi membantu mangsa gempa bumi Turkiye.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

MASJID di seluruh negara disarankan agar mengambil inisiatif sendiri bagi membantu mangsa bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Ruslan Said berkata inisiatif itu termasuk mengadakan solat hajat dan melancarkan kutipan derma bagi membantu mangsa-mangsa terlibat.

“Kita tahu bencana alam yang dialami negara itu mengorbankan ramai nyawa dan banyak kerosakan harta benda.

“Selain bersimpati, kita rakyat Malaysia sentiasa membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana alam, baik yang berlaku di dalam ataupun di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (Mesma) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Yayasan Islam Negeri Kelantan, Tunjong, di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana negeri dalam apa jua kaedah yang dilakukan bagi membantu rakyat Turkiye dan Syria yang terlibat musibah itu.

“Pihak kami menyelaras program bantuan peringkat agensi agama di tiga masjid utama Jakim melibatkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“Program ini akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ruslan berkata Mesma yang memasuki tahun ke-empat penganjurannya akan diadakan pada 6 hingga 9 Ogos depan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

“Seramai 500 peserta dari 14 negeri akan menyertai Mesma ini. Program ini merupakan kokurikulum peringkat kebangsaan dan merupakan program tahunan oleh Jakim,” katanya. – Bernama, 8 Februari, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen