Setiausaha agung Muda fail bantahan awal batal pertuduhan himpunan LCS


Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi didakwa selaku penganjur gagal memberitahu polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan pada 2 petang 14 Ogos 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

SETIAUSAHA Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan berhubung perhimpunan “Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)” yang dihadapinya.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Amir Hariri berkata permohonan bantahan awal itu difailkan semalam melalui sistem mahkamah dan ia diserahkan kepada pihak pendakwaan hari ini.

“Mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis dan 27 Mac ditetapkan untuk pendengaran bantahan awal itu,” katanya ketika ditemui media selepas pengurusan kes di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin hari ini.

Menurut Rajsurian bantahan awal tersebut difailkan atas alasan pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah defektif (cacat).

Pada 26 Ogos tahun lepas, Amir Hariri, 32, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal memberitahu pihak polis berhubung perhimpunan LCS.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa selaku penganjur gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 2 petang 14 Ogos 2022.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan. – Bernama, 8 Februari, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen