Muda tidak dijemput ke mesyuarat pertama sekretariat kerajaan


Ravin Palanisamy

Muda akan terus menyokong kerajaan perpaduan dan pendiriannya tidak berubah – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

PARTI Muda mendakwa diketepikan daripada mesyuarat sekretariat semalam, walaupun merupakan penyokong tegar kerajaan persekutuan.

Luqman Long, ketua penerangan parti mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight, berkata tiada jemputan diberikan kepada Muda.

“Malangnya Muda tidak diberi jemputan. Kami tidak diberitahu pun mengenai mesyuarat urusetia,” kata Luqman.

Pada mesyuarat sekretariat pertama malam tadi, beberapa pemimpin kerajaan perpaduan hadir kecuali Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tiada wakil daripada Muda juga kelihatan pada mesyuarat itu.

Luqman berkata walau apa pun keadaan, mereka akan terus menyokong kerajaan perpaduan dan pendiriannya tidak berubah.

“Saya fikir bagi Muda sangat jelas walaupun sebelum pembentukan kerajaan yang kami akan terus menyokong kepimpinan dan agenda reformasi Anwar (Ibrahim).

“Kami mahu bersama-sama menyokong kerajaan,” katanya.

Luqman juga berkata mereka akan menghubungi Pakatan Harapan berhubung komunikasi antara gabungan itu dan Muda.

“Sudah tentu, jika ada sebarang mesyuarat kerajaan perpaduan tidak lama lagi, kami akan berbesar hati untuk menyertai dan menyumbang idea kami ke mesyuarat itu,” tambahnya.

Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi turut membawa perkara itu ke Twitter berkata walaupun logo parti berada pada kain rentang sekretariat, tiada jemputan diberikan.

Beliau juga mendakwa mereka tidak diberi taklimat mengenai keputusan mesyuarat yang diadakan malam tadi.

Menjawab kiriman Twitter daripada @HeadsUp93, yang mendakwa seseorang dalam pasukan itu mungkin mengetahui mengenai mesyuarat itu, Amir berkata tiada komunikasi rasmi berhubung pertemuan itu dan mereka hanya mendapat tahu mengenainya melalui media.

Malam tadi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata sekretariat bersetuju membentuk tiga jawatankuasa, termasuk satu yang akan memberi tumpuan kepada pilihan raya negeri akan datang.

Menurut pengerusi PH, ketiga-tiga jawatankuasa itu akan menangani komunikasi strategik, rundingan kerusi, perkembangan politik dan agenda kerajaan.

Anwar berkata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai sekretariat itu manakala Fadillah Yusof akan menjadi setiausaha agung.

Perdana menteri berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat sekretariat bulanan itu.

Beliau berkata ketua-ketua parti di bawah kerajaan perpaduan akan menjadi timbalan presiden dalam sekretariat. – 8 Februari, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen