Tiada varian baharu selepas China tamatkan sekatan Covid-19


China menyaksikan ledakan jangkitanCovid-19 selepas mula menarik balik langkah ketat sejak awal Disember lalu yang mencetuskan kebimbangan banyak negara. – Gambar EPA, 8 Februari 2023.

TIADA varian baharu Covid-19 muncul di Beijing dalam beberapa minggu selepas China menamatkan dasar sifar Covid-19 hujung tahun lalu, kata satu kajian baharu pada Rabu.

China menyaksikan ledakan jangkitan selepas mula menarik balik langkah pandemik yang ketat sejak awal Disember, mencetuskan kebimbangan negara paling ramai penduduk di dunia itu boleh menjadi tempat membiak untuk strain baharu yang lebih mudah berjangkit atau teruk.

Beberapa negara segera mengenakan sekatan baru ke atas pelancong dari China, dengan alasan kekurangan ketelusan mengenai skala wabak yang mencetuskan kemarahan Beijing.

Tetapi kajian baharu oleh penyelidik China, yang menganalisis 413 sampel dari Beijing yang diambil antara 14 November hingga 20 Disember mendapati tiada bukti varian novel muncul ketika itu.

Sebaliknya, lebih 90% kes adalah subvarian BF.7 dan BA5.2, Omicron yang sudah pun wujud di China dan diatasi lebih banyak subvarian yang mudah ditularkan di negara Barat.

BF.7 menyumbang tiga perempat daripada sampel, manakala lebih 15% adalah BA5.2, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet.

“Analisis kami mencadangkan dua sub-varian Omicron yang diketahui—berbanding mana-mana varian baharu—bertanggungjawab terutamanya terhadap lonjakan semasa di Beijing, dan berkemungkinan China secara keseluruhan,” menurut penulis kajian utama George Gao, ahli virologi di Institut Mikrobiologi di Akademi Sains China dalam satu kenyataan.

Wolfgang Preiser dan Tongai Maponga, pakar virologi di Universiti Stellenbosch Afrika Selatan yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu, memberi amaran ia hanya meliputi beberapa minggu selepas China menarik balik langkah sifar-Covidnya.

“Sekiranya varian baharu muncul semasa lonjakan itu, kajian itu mungkin terlalu awal untuk mengesannya,” ulas mereka dalam Lancet.

China juga secara mendadak mengurangkan ujiannya, yang berpotensi menjejaskan keputusan, yang juga hanya meliputi Beijing dan bukan seluruh negara, tambah mereka.

Bagaimanapun, pakar virologi mengalu-alukan data yang sangat diperlukan dari China.

“Walaupun langkah berkaitan perjalanan agak longgar yang dikenakan oleh beberapa negara kepada pengembara dari China sekali lagi mungkin dilihat sebagai menghukum, kita berharap kertas ini memberi lebih banyak keterbukaan dan pertukaran data yang segera pada masa hadapan,” kata mereka. – AFP, 8 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen