Ketua penasihat perdana menteri Turki yang dikaitkan dengan Gulen ditahan


Sehingga kini lebih 50,000 orang ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan Gulen, yang dituduh bertanggungjawab atas cubaan rampasan kuasa yang gagal tahun lepas. – Gambar AFP, 3 Jun, 2017.

KETUA penasihat kepada Perdana Menteri Turki Binali Yildirim ditahan hari ini atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pergerakan ulama Islam Fethullah Gulen yang dipersalahkan atas cubaan rampasan kuasa tahun lepas, lapor media negara itu.

Birol Erdem, bekas pegawai kanan kementerian kehakiman, ditahan di Ankara bersama isterinya Gulumser Erdem, lapor agensi berita Anadolu.

Dia dituduh menjadi ahli pergerakan yang diketuai Gulen, lapor agensi itu yang memetik sumber pejabat ketua pendakwaraya Ankara.

Turki mendakwa Gulen mengarahkan cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lepas bagi menyingkirkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Gulen yang hidup dalam buangan di Pennsylvania sejak 1999 menafikan dakwaan itu.

Erdem ialah pegawai kanan kerajaan tertinggi disyaki mempunyai kaitan dengan Gulen. Antara yang ditahan sebelum ini ialah pegawai tentera termasuk Colonel Ali Yizici, penasihat ketenteraan Erdogan. 

Erdem dipanggil memberi keterangan sebagai saksi tahun lepas dalam siasatan ke atas pengikut Gulen selepas beberapa suspek memberikan namanya dalam kenyataan mereka, lapor akhbar harian Hurriyet.

Pihak berkuasa Turki sudah menahan lebih 50,000 orang termasuk hakim, pendakwaraya, pegawai polis dan anggota pasukan bersenjata, menuduh mereka mempunyai hubungan dengan pergerakan Gulen, kata pegawai kementerian kehakiman kepada Anadolu minggu lepas.

Lebih 100,000 orang pula yang bekerja dalam perkhidmatan awam termasuk doktor, penjawat awam dan ahli akademik sudah digantung tugas atau dipecat kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Gulen. – AFP, 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen