Mahkamah tolak petisyen, Mas Ermieyati kekal ahli Parlimen Masjid Tanah


Pada PRU15, Mas Ermieyati Samsudin menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertembungan empat penjuru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2023.

MAS Ermieyati Samsudin kekal sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Pilihan Raya yang bersidang di Melaka hari ini menolak petisyen untuk membatalkan kemenangannya pada pilihan raya umum lalu.

Hakim Anselm Charles Fernandis menolak petisyen yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid dan memerintahkan beliau membayar kos guaman RM20,000.

Dalam keputusannya, Fernandis berkata beliau bersetuju dengan dua bantahan awal yang dikemukakan oleh Mas Ermieyati, yang satu daripadanya menyentuh kecacatan petisyen yang difailkan di luar tempoh yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengikut undang-undang, petisyen pilihan raya yang membangkitkan isu sogokan perlu dikemukakan kepada mahkamah dalam masa 28 hari daripada tarikh kejadian itu didakwa berlaku.

Mahkamah juga mendapati pihak pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah selain tidak mengemukakan fakta yang mengaitkan Mas Ermieyati dengan beberapa individu yang didakwa terlibat sebagai ejennya.

Peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili pempetisyen berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya di Masjid Tanah pada 3 Januari.

Pada PRU15, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Petisyen terhadap keputusan pilihan raya Parlimen Masjid Tanah adalah satu daripada keseluruhan 11 petisyen yang dikemukakan selepas PRU15.

PN juga mempunyai empat lagi petisyen pilihan raya terhadap calon-calonnya yang menang iaitu di Gua Musang, Kuala Terengganu, Kemaman, dan Marang.

Bantahan awal terhadap petisyen bagi Gua Musang akan didengar di Kota Bharu pada esok dan lusa, dan ditetapkan untuk perbicaraan sekiranya perlu pada 12 Mac ini.

Keputusan bantahan awal terhadap petisyen bagi Kemaman dan Marang akan diumum pada 12 Februari sementara bagi Kuala Terengganu pada 17 Februari. β€“ 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen