Seorang lagi ditahan disyaki terlibat dalam serangan Manchester


Serangan pengebom berani mati di Manchester 22 Mei lepas mengorbankan 22 orang termasuk 7 kanak-kanak. – Gambar AFP, 3 Jun, 2017.

POLIS Britain berkata yang mereka menahan seorang suspek terbaru yang disyaki terlibat dalam serangan pengganas di Manchester 22 Mei lalu, menjadikan 11 suspek kini dalam tahanan.

Pihak berkuasa menahan lelaki berusia 24 tahun semalam di Rusholme, Manchester jelas kenyataan itu.

“Dia ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan melakukan tindakan keganasan,” tambah polis.

Dua puluh dua orang, termasuk tujuh kanak-kanak terbunuh dalam serangan di konsert penyanyi Amerika Syarikat, Ariana Grande itu.

Tangkapan terbaru itu susulan pengosongan satu kawasan di Rusholme tengahari Jumaat lalu selepas polis mengenalpasti sebuah kereta yang menurut mereka “penting dalam siasatan”.

Tujuh belas tangkapan dilakukan setakat ini di UK dan enam orang sudah dibebaskan tanpa didakwa.

Ayah dan abang Salman Abedi, pengebom berani mati yang meletupkan dirinya dalam serangan itu kini dalam tahanan di Libya, di mana pihak berkuasa berkata yang adik beradik itu merupakan anggota kumpulan Negara Islam (IS) yang mendakwa bertanggungjawab dalam serangan itu.

Ariana Grande kembali ke Manchester Jumaat lepas sebelum terlibat dalam konsert kebajikan bagi mengenang mangsa serangan.

Penyanyi itu turut melawat peminatnya yang masih dirawat di Royal Manchester Children’s Hospital.

Konsert mengenang mangsa serangan itu akan diadakan pada Ahad dan semua keuntungan daripadanya akan disalurkan untuk membantu keluarga mangsa. – AFP, 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen