AMERIKA Syarikat (AS) sedang mencari serpihan daripada belon China yang jatuh di Atlantik untuk dianalisis pakar perisikan dan tidak merancang untuk menyerahkan kembali serpihan ditemui itu kepada Beijing, kata pihak berkuasa.
China sebelum ini berkata belon itu pesawat pemerhati cuaca yang menyimpang, tanpa tujuan ketenteraan, namun AS menyifatkan ia alat pengintipan altitud tinggi yang canggih.
“Mereka menemui sebahagian saki-baki di permukaan laut dan keadaan cuaca tidak membolehkan lebih banyak pemantauan bawah laut dilakukan di kawasan serpihan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby, dua hari selepas jet pejuang AS menembak jatuh belon itu.
Kirby berkata dalam masa beberapa hari lagi, kakitangan AS akan dapat turun ke dasar laut untuk melihatnya secara dekat.
Sementara itu, Ketua Komando Utara AS Jeneral Glen VanHerck memberitahu pemberita sebuah kapal Tentera Laut sedang dalam proses memetakan kawasan serpihan, yang dianggarkan berukuran kira-kira 1,500 X 1,500 meter.
Katanya, belon itu berukuran sehingga 200 kaki (60 meter) tinggi dan membawa muatan seberat beberapa ribu paun, iaitu kira-kira saiz sebuah pesawat jet serantau. – AFP, 7 Februari, 2023.
Komen