Populasi bukan penentu pengaruh politik kaum Cina, kata penganalisis


Liow Sze Xian

23% populasi negara adalah terdiri daripada kaum Cina, yang berjumlah 6.66 juta orang. Pakar meramal kadar kelahiran yang rendah sebagai kemungkinan punca populasi masyarakat itu menurun di bawah paras 20%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018.

PENGARUH politik kaum Cina di Malaysia tidak akan dapat ditingkatkan melalui pertambahan populasi kaum, kata penganalis.

Mereka merasakan yang cadangan supaya kaum Cina mengamalkan poligami bagi mengatasi masalah penurunan peratusan populasi masyarakat itu, hanya menunjukkan kelaziman politik perkauman.

Penganalisis berkata selagi sesuatu dasar itu bersandarkan kaum dan bukannya merit, masyarakat Cina di Malaysia tidak akan mendapat suara yang lebih dalam politik, sekalipun populasi kaum itu meningkat.

23% populasi negara adalah terdiri daripada kaum Cina, yang berjumlah 6.66 juta orang. Pakar meramal kadar kelahiran yang rendah sebagai punca populasi masyarakat itu merosot di bawah 20%.

Pemerhati politik Tang Ah Chai berkata penurunan populasi masyarakat Cina akan memberi kesan kepada status politik dan parti yang berasaskan kaum Cina.

“Jika dasar dibuat berdasarkan angka populasi atau warna kulit, kumpulan minoriti berkemungkinan akan terpinggir.

“Dasar negara kita, sumber diagihkan mengikut populasi. Jika dasar tidak adil, kumpulan minoriti akan terpinggir, seperti dalam perkhidmatan awam atau jawatan tertinggi. Ini adalah kesan daripada politik perkauman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebagai contoh, katanya hampir tiada naib canselor kaum Cina di universiti awam tetapi di universiti swasta, kebanyakan naib canselor adalah orang Cina Malaysia.

“Ini menunjukkan yang kaum Cina Malaysia bukanlah tidak ada kelulusan akademik untuk menjadi naib canselor, tetapi disebabkan dasar berat sebelah mereka dipinggirkan daripada jawatan universiti awam,” katanya.  

Di Malaysia, katanya hampir mustahil untuk kaum Cina mengisi jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Seorang lagi penganalisi politik Cheah See Kian berkata kebanyakan parti politik beroperasi berdasarkan kaum.

“(Dalam masyarakat Malaysia kini) jika sekali kamu lari daripada topik kaum, orang akan berhenti mendengar. Jika semua orang bersatu tidak kira perbezaan etnik, orang Cina dan India Malaysia mesti tanya mengapa mereka tidak ada keistimewaan yang (Bumiputera) ada.

“Orang Melayu akan kata, kami masih miskin, kami perlukan bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata masyarakat tidak berminat dengan perbincangan politik, melainkan topik itu ada kena mengena dengan mereka dan ia adalah masalah yang sedang dihadapi di Malaysia.

Demokrasi akan jamin kepentingan minoriti

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata hak kumpulan minoriti, termasuk India dan Orang Asli, sudah banyak meningkat sejak 10 tahun lepas.

“Ini bukan disebabkan oleh pertambahan populasi mereka, sebaliknya sebab sejak 2007, masyarakat daripada berbagai latar etnik telah bersatu padu menuntut demokrasi (dan kesaksamaan),” katanya. – 13 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen