Agong, Permaisuri ucap takziah gempa bumi Turkiye, Syria


Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah itu. – Gambar Facebook Istana Negara, 6 Februari, 2023.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada kerajaan Turkiye dan Syria serta rakyatnya berikutan tragedi gempa bumi kuat melanda negara berkenaan.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.

“Seri Paduka berdua berdukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi itu serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Istana Negara, dalam tempoh kesedihan itu, Seri Paduka berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye dan Syria serta mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.

Susulan bencana itu, Al-Sultan Abdullah menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat untuk keselamatan mangsa dan keluarga mereka, serta mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa yang kembali ke rahmatullah.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan pihak berkuasa pengurusan bencana Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu meragut 912 nyawa, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria. – Bernama, 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen