Thailand terima pelancong pertama dari China selepas pandemik


Pattaya antara tempat pelancongan utama yang menjadi tarikan pelancong dari luar Thailand. – Gambar fail EPA, 6 Februari, 2023.

THAILAND mengalu-alukan kumpulan pelancong pertama dari China, selepas tiga tahun dilanda pandemik Covid-19 dan berharap lebih ramai pelancong China melawat negara itu bagi membantu memulihkan industri pelancongan.

Dua kumpulan pertama membabitkan kira-kira 40 pelancong dari Guangzhou tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, sejurus Beijing menarik balik sekatan Covid-19 terhadap lawatan berkumpulan mulai hari ini.

Pegawai kanan dari pihak berkuasa pelancongan Thailand (TAT) dan Kedutaan China di Thailand serta wakil sektor awam dan swasta Thailand turut mengalu-alukan ketibaan kumpulan pelancong di lapangan terbang.

Sebanyak 14 penerbangan yang membawa rombongan pelancong dari China dijadual tiba di Thailand pada Isnin.

Selain Guangzhou, penerbangan yang dikendalikan pelbagai syarikat dijadualkan berlepas dari beberapa bandar di China termasuk Xiamen, Beijing, Shanghai, Nanjing, Chengdu dan Nanning turut mendarat di lapangan terbang Bangkok dan Phuket.

TAT memaklumkan kumpulan pelancong itu mempunyai jadual perjalanan enam hari ke destinasi pelancongan popular termasuk kuil dan pantai di Bangkok serta pulau berdekatan seperti Pattaya dan Koh Samet.

Sementara itu, gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata Thailand berbesar hati menjadi antara 20 negara yang dipilih bagi mengalu-alukan kedatangan kumpulan pelancong dari China sekali lagi.

“Kami amat berbesar hati menerima kedatangan kumpulan pertama hari ini dan menantikan lebih ramai lagi pengunjung pada masa akan datang.

“Terima kasih kami ucapkan kepada China, pengusaha pelancongan dan pelancong China sendiri atas keyakinan berterusan mereka memilih Thailand sebagai destinasi percutian pilihan.

“TAT memaklumkan Thailand bersedia mengalu-alukan kedatangan 5 juta pelancong China tahun ini,” katanya.

Pada 2022, seramai 286,511 pelancong dari China melawat Thailand.

Dari 1 Januari hingga 2 Februari tahun ini, Thailand mengalu-alukan kemasukan 99,429 pelancong China.

Sekitar 300,000 pelancong China diunjurkan melawat Thailand pada suku pertama dan menyasarkan 5 juta ketibaan untuk pasaran China pada 2023.

Thailand, salah satu destinasi pelancongan paling popular di Asia, dikunjungi hampir 40 juta orang pada 2019.

Bagaimanapun, industri pelancongan di Negara Gajah Putih itu hampir merudum akibat pandemik, hingga memaksa kerajaan memperkenalkan syarat kemasukan yang ketat dan mahal. – Bernama, 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen