Sukar buat Azmin di Selangor, kata wakil rakyat PKR


Noel Achariam

Penganalisis politik berasakan Mohamed Azmin Ali sukar untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2023.

PELUANG Mohamed Azmin Ali untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor atau kembali sebagai menteri besar sama ada tipis atau tidak wujud sama sekali walaupun Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi mantap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata ahli Parlimen PKR.

Bersatu membayangkan perancangan buat Azmin tetapi ahli Parlimen PKR berkata, bekas ahli Parlimen Gombak itu sudahpun ditolak pada PRU15 apabila beliau tewas kerusi persekutuan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat berkata Azmin tidak akan berjaya jika PN mencalonkannya bagi jawatan itu.

“PN perlu memikirkan semula calon mereka untuk jawatan menteri besar kerana keputusan PRU15 membuktikan Azmin ditolak rakyat.

“Beliau tidak berjaya mengekalkan kerusi Parlimennya, bermakna amat jelas rakyat Selangor menolaknya,” kata Chua kepada The Malaysian Insight.

PN dilaporkan berkata, mereka tidak menolak kemungkinan mencalonkan Azmin sebagai menteri besar jika beliau menang pada pilihan raya negeri akan datang.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor Zulkafperi Hanafi berkata, peluang Adun Bukit Antarabangsa itu sentiasa ada untuk kembali menerajui negeri itu.

Zulkafperi bagaimanapun berkata, keputusan bagi jawatan itu tertakluk kepada kepimpinan PN.

Chua bagaimanapun tidak percaya Azmin akan mengekalkan kerusi Bukit Antarabangsa sekiranya beliau bertanding semula.

“Jika beliau mahu bertanding di Bukit Antarabangsa kami mengalu-alukannya, tetapi melihat kepada strateginya beliau mungkin mahukan tempat yang lebih selamat di kawasan luar bandar.”

Chua berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan Selangor.

“PH boleh mendapat kira-kira 40 hingga 41 kerusi. Ia mungkin lebih rendah daripada pengundian sebelum ini tetapi kami masih boleh mengekalkan Selangor jika bekerjasama dengan Barisan Nasional.

“Dengan kerajaan perpaduan, rakyat Selangor akan memilih PH kerana perdana menteri (Anwar Ibrahim) daripada gabungan itu,” katanya.

Selangor mempunyai 56 kerusi dalam dewan undangan negeri.

Pada 2018, PH memenangi majoriti besar 51 kerusi sekali gus membentuk kerajaan bagi penggal ketiga.

Pengarah Komunikasi PKR Selangor Lee Chean Chung berkata PN boleh mencalonkan sesiapa sahaja untuk jawatan menteri besar tetapi rakyat tahu keupayaan PH untuk berkhidmat kepada mereka.

“Azmin pada 2018 meninggalkan jawatan menteri besar dan pergi ke Putrajaya (sebagai menteri).

Mohamed Azmin Ali gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak apabila tewas di tangan Amirudin Shari pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2023.

“Azmin juga meraih kemasyhuran di Selangor (sebagai menteri besar) bersama PH, tetapi beliau bertukar parti (Langkah Sheraton).

“Kami harap rakyat dapat melihat bahawa rakyat Selangor layak mendapat yang lebih baik.”

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kemungkinan Azmin menjadi menteri besar tidak boleh diketepikan sekiranya PN mampu memenangi majoriti kerusi di Selangor.

“Berdasarkan keputusan PRU15, agak sukar untuk Azmin mengekalkan kerusinya.

“Beliau mungkin aktif dalam kerja kawasan, tetapi beliau gagal mengekalkan kerusi Gombak pada pilihan raya lalu,” kata Tunku Mohar.

Beliau berkata kerusi Bukit Antarabangsa berbeza sama sekali kerana ia kerusi bandar dan lebih mesra kepada PH.

“Azmin mungkin masih mempunyai sedikit sokongan, tetapi saya rasa lebih ramai rakyat Selangor yang melihatnya sebagai pengkhianat daripada menteri besar yang disukai.”

Beliau bagaimanapun berkata, PN mungkin boleh memenangi kerusi di kawasan luar bandar dengan kehadiran PAS yang kukuh.

“Beberapa undi protes masih akan disalurkan kepada (PN), tetapi secara keseluruhan, PH mempunyai asas sokongan yang lebih kukuh dengan pelbagai program untuk rakyat.

“Ia (PN) akan memberi sedikit impak, tetapi hanya di kawasan Melayu seperti Tanjong Karang dan Sungai Besar. Selain itu, ia tidak mendapat banyak sokongan setakat ini.”

Ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, Azmin adalah calon paling sesuai bagi jawatan menteri besar mewakili PN jika menang.

“Ini kerana beliau merupakan ahli politik paling kanan di Selangor dan mempunyai pengalaman sebagai menteri besar.

“Bagaimanapun, Azmin akan menghadapi kesukaran untuk mempertahankan kerusinya di Bukit Antarabangsa kerana kawasan bandar yang pengundinya sangat progresif selain bilangan pengundi bukan Melayu juga ketara.”

Mazlan berkata, majoriti rakyat di Selangor tetap menyokong PH dan ini akan menjejaskan prestasi Azmin apabila bertanding pada PRN tahun ini.

Beliau bagaimanapun berkata dengan adanya gelombang hijau, terdapat peningkatan sokongan orang Melayu kepada PN, tetapi tidak mencukupi untuk membolehkan gabungan itu menawan Selangor.

“Ini kerana demografi Selangor lebih memihak kepada PH jika bekerjasama dengan Umno.

“Peluang PN tipis kerana PH masih mempunyai pengaruh yang kuat di Selangor,” tambah Mazlan. – 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen