SATU lagi gempa bumi berukuran 7.5 magnitud menggegar wilayah selatan Turkiye dekat sempadan Syria, lebih enam jam selepas gegaran pertama pada awal pagi berukuran 7.8 magnitud, mengakibatkan kematian mencecah lebih 2,300 orang.
Sebanyak 1,498 kematian dilaporkan di Turkiye sementara sekurang-kurangnya 810 terbunuh di Syria, yang juga wilayah yang menjadi tumpuan pelarian perang.
Pihak berkuasa percaya angka korban mungkin akan lebih tinggi kerana gempa bumi awal pagi itu meranapkan banyak bangunan kediaman ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.
Agensi pengurusan bencana Turkiye turut merayu bantuan antarabangsa untuk kerja mencari dan menyelamat.
Antara yang menjanjikan bantuan dan juga menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat termasuk Iran, Kesatuan Eropah, Israel, India, Rusia, Qatar dan Ukraine.
Negara anggota EU yang terlibat dalam pasukan pertama ialah Bulgaria, Croatia, Perancis, Greece, Belanda, Poland, Romania dan Czechia. Itali dan Hungary juga sudah menawarkan bantuan.
Beberapa lapangan terbang di wilayah selatan Turkiye kini ditutup.
Kementerian Pertahanan Turkiye dalam satu kenyataan memaklumkan membuka laluan khas udara bagi memudahkan pasukan bantuan masuk ke kawasan bencana.
Gempa pertama berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan, atau 9.17 pagi waktu Malaysia, disusuli 78 gegaran susulan, kata agensi pengurusan bencana Turkiye.
Gempa kedua berlaku 1.24 petang, bersamaan 6.24 petang waktu Malaysia.
Gegaran turut dirasakan di beberapa negara jiran termasuk Iraq, Lubnan dan Mesir. – 6 Februari, 2023.
Komen